SELAMAT MEMBACA..Jangan lupa tinggalkan komen atau cadangan agar Mya boleh buatkan cerita lebih menarik okeh!datang lagi...sayang korang...(^_*)

Jom follow blog Mya.... ;)

Wednesday 25 July 2012

Andai Dia Jodohku ep29




BAB 29
Balqiss diam. Kata-kata maaf daripada lelaki itu sekadar dipandang sepi. Setiap kali dia membuka mata, pasti telinganya disogok dengan kata-kata tersebut. Dia bosan. Dia tidak perlukan kata-kata maaf dari pemuda itu. Pandangannya dialihkan ke luar tingkap. Perjalanan dari Dungun ke KL memakan masa lebih kurang lima jam. Bermakna lima jam jugalah dia terpaksa berhadapan dengan lelaki di sebelahnya itu. Matanya kembali dipejam. Rasa mengantuk dan keletihan memudahkan dia kembali lena. Harapannya semoga apa yang terjadi sebelum ini hanyalah sebuah mimpi ngeri.
“Qiss... Qiss.. Bangun...”
Balqiss membuka mata sebaik saja mendengar namanya dipanggil beberapa kali. Matanya yang masih mengantuk ditenyeh. Kelihatan wajah Zarul Zikuan sedang memandang tepat ke arahnya.
“Err.. Apesal kau ada kat aku ni? Kita kat mana?” soal Balqiss separuh sedar.
Zarul Zikuan tersentak. Hai minah ni. Dia betul-betul lupa ke sengaja buat-buat lupa.
“Qiss.. Kau ok tak ni?” soalnya balik.
“Aku oklah. Kau ingat aku gila ke? Kau tu apesal duduk kat sini. Kau nak bawak aku pergi mana ni?” soal Balqiss bingung. Matanya liar memandang sekeliling.
Berkerut dahi lelaki itu mendengar kata-kata yang lahir dari mulut Balqiss. Berdebar-debar hatinya bimbang memikirkan keadaan Balqiss. Takut isterinya itu masih tidak mampu menerima kenyataan.
“Qiss. Kau dah lupa ke apa yang berlaku malam tadi, pagi tadi?” soal Zarul Zikuan dengan riak bimbang. Hatinya berdoa agar sesuatu yang buruk tidak berlaku pada gadis tersebut.
Balqiss tersenyum geli hati. Bukan senang dia dapat melihat wajah kalut lelaki itu. Selama ini Zarul Zikuan sentiasa berlagak macho di depannya. Perangai lelaki itu juga sentiasa menjengkelkan hatinya. Tapi tidak kini. Lelaki itu nampak bimbang dan terlalu mengambil berat.
“Yang kau kalut sangat ni apesal? Haaa... Kau bimbangkan aku ke? Kau dah sayangkan aku erk?” Balqiss tersenyum mengejek.
“Ya Allah Qiss.. Apa kena dengan kau ni? Kau dah kena sampuk ke masa kat jalan tadi?” Zarul Zikuan menepuk dahi. Dia keluar dari kereta dan botol air mineral yang masih berbaki sedikit itu dicapai. Kemudian direnjiskan air tersebut ke muka Balqiss.
 Balqiss yang terkejut dengan tindakan lelaki itu menjerit kuat. “Wei! Apa kau buat ni. Habis basah aku!” Marahnya.
“Sekarang kau dah sedar ke?” soal Zarul sambil memandang tepat wajah gadis yang agak basah dengan air renjisan tadi.
Balqiss terdiam. Kejadian di pulau dan rumahnya kembali bermain difikirannya. Serta merta wajahnya berubah mendung.
Zarul yang perasan akan perubahan di wajah gadis itu mengeluh perlahan. Dia tahu, pasti Balqiss sudah sedar dengan sepenuhnya.
“Kita kat mana ni?” soal Balqiss perlahan. Rumah banglo besar dua tingkat di depannya dipandang dengan perasaan berbaur.
“Rumah aku. Jom kita masuk Qiss. Parents aku dah tunggu kat dalam.” Zarul bersuara selamba.
Balqiss yang sudah menjangka jawapan tersebut diam tidak bergerak. Hatinya berdebar kencang. Takut dengan pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi.
“Kalau aku tak masuk boleh tak? Aku nak balik rumah aku.” Akhirnya dia bersuara.
Berubah wajah Zarul mendengar kata-kata tersebut. Walaupun mereka berkahwin dalam keadaan terpaksa, dia sebolehnya mahukan gadis itu tinggal bersamanya. Dia tidak mahu dianggap suami yang tidak bertanggungjawab.
Balqiss bukan tidak nampak perubahan pada wajah lelaki itu. Tetapi sengaja tidak dipedulikan. “Boleh tak hantar aku balik?” soalnya lagi.
Zarul mendengus kasar. “Qiss. Kau tu isteri aku. Kau kena tinggal dengan aku dan dengar cakap aku.”
“Tapi...”
“Takde tapi-tapi Qiss. Mulai sekarang, aku nak kau tinggal dengan aku. Takde bantahan! Jom ikut aku masuk.” balas Zarul tegas.
Balqiss terkesima. Kecewa dengan kata-kata lelaki itu. Air mata yang ingin tumpah pantas diseka dengan hujung jari. Perlahan-lahan dia turun membontoti langkah Zarul Zikuan.
                                      *          *          *          *          *
“Abah, ibu, mak... Kenalkan. Ni Balqiss, isteri Wan.” Zarul Zikuan memperkenalkan isterinya kepada seluruh keluarganya.
Balqiss bangkit. Tangan lelaki yang dipanggil abah oleh suaminya itu dikucup hormat. Terasa belakang kepalanya diusap lembut. Kemudian tangan wanita bertubuh gempal yang berdiri di tepi sofa yang diduduki olehnya dan Zarul Zikuan itu disalam dan dikucup. Dia terkedu sebaik sahaja tubuhnya ditarik kedalam pelukan wanita tersebut. Air mata yang mengalir dipipinya pantas diseka.
Kaki Balqiss menghala pada wanita yang duduk di sebelah seorang gadis muda. Wajah wanita itu nampak dingin. Perlahan-lahan Balqiss menghulur tangan. Belum sempat dikucup, wanita itu pantas melarikan tangannya. Balqiss tersentak. Hatinya sudah berasa tidak enak.
“Qiss. Yang sebelah ibu tu adik aku. Zahra.” Zarul Zikuan bersuara. Sengaja dia buat tidak nampak tidakan ibunya sebentar tadi.
Balqiss mengangguk. Tangannya dihulur. Gadis itu hanya memandangnya tajam. Mata gadis itu meneliti penampilannya dari atas ke bawah. Seolah dia seorang pesalah yang bakal dijatuhi hukuman berat.
“Ehem!” kedengaran Zarul berdehem kuat. Mahu tak mahu huluran Balqiss itu disambut dengan hujung jarinya. Tapi pantas dilarikan.
“Zahra...” tegur Dato’ Muhd Zahari. Tidak berkenan dengan sikap anak gadisnya yang berubah dingin secara tiba-tiba itu.
Zahra diam. Dia mencebik memandang wajah Balqiss yang sudah duduk di sebelah abangnya.
“Jomlah Zahra! Kita naik atas.” Ajak Datin Azizah. Tangan anak gadisnya ditarik dan melangkah ke tingkat atas.
“Balqiss. Abah minta maaf dengan sikap ibu dan Zahra tu. Abah sendiri pun hairan dengan perangai mereka dua beranak. Tapi kamu tak payah risau, nanti oklah tu. Diorang cuma terkejut dengan berita ni. Abah harap Balqiss tak ambik hati ye nak.” Lelaki itu bersuara lembut sebaik kelibat dua beranak itu menghilang.
“Takpe Dato’. Saya tak kisah. Lagipun memang salah saya. Datang dalam keluarga dato’ secara mengejut. Saya minta maaf dato’.” Balas Balqiss perlahan. Cuba mengawal rasa hatinya.
“Balqiss. Tak payahlah berdato’-dato’. Panggil je abah. Lagipun kamu dah jadi menantu abah. Tak payah segan-segan. Buat je rumah ni macam rumah kamu.” Balas Dato’ Muhd Zahari cuba menghilangkan rasa canggung menantunya itu.
Balqiss terkesima. Seakan tidak percaya dengan penerimaan lelaki tersebut.
“Terima kasih a..Abah.” balas Balqiss sebak.
Dato’ Muhd Zahari mengangguk perlahan. Terserlah senyuman manis di bibirnya. Sejuk hatinya memandang wajah Balqiss. Entah kenapa, hatinya berasa lega apabila Zarul Zikuan berkahwin dengan gadis itu.
“Zarul. Pergilah bawak Balqiss ke bilik. Kesian dia. Mungkin letih duduk lama-lama dalam kereta dari Dungun tadi. Pergilah Qiss. Naik. Berehat.” Lelaki itu bersuara lembut.
“Oklah abah. Wan naik dulu. Jom Qiss.” Zarul Zikuan yang sedari tadi diam bersuara. Beg pakaian Balqiss dibawa bersama. Mereka melangkah beriringan ke tingkat atas.
                                                  *          *          *          *          *
“Qiss. Masuklah. Ni bilik aku.” Ujar Zarul Zikuan membukakan pintu kepada isterinya.
Balqiss akur. Dia terpegun melihat keadaan bilik lelaki tersebut yang nampak luas dan kemas.
Zarul terus masuk dan mengunci pintu. Tidak mahu diganggu. Beg pakaian Balqiss diletakkan di tepi katil.
“Aku mandi dulu.” Ujarnya tiba-tiba.
“Err.. Kalau aku mandi dulu boleh tak?” soal Balqiss perlahan. Tubuhnya sudah melekit. Fikirnya selepas solat Isyak, dia ingin saja terus tidur.
“Tak boleh! Aku mandi dulu.”
“Alah! Bolehlah.” Pinta Balqiss lagi.
“Ni bilik aku. Suka hati akulah. Kalau kau nak mandi, tunggu lepas aku siap mandi.” Balas Zarul sambil melangkah ke bilik air. Pintu bilik air ditutup kuat.
Balqiss mencebik. Geram dengan tingkah lelaki itu. Punggungnya dilabuhkan di atas katil. Sangkanya perangai Zarul akan berubah selepas berkahwin, tapi ia meleset sama sekali. Dia menggigit bibir. Tubuhnya dibaringkan di atas tilam empuk itu. Sekejap sahaja dia sudah terlena.






Andai Dia Jodohku ep 28



BAB 28
 “Qiss.. Aku minta maaf. Aku tak tahu akan jadi macam ni. Aku pun hairan macam mana diorang boleh serbu kita. Maafkan aku Qiss.” Ujar Zarul perlahan. Wajah Balqiss yang masih sembab dipandang sayu. Baru beberapa jam yang lepas mereka dinikahkan. Sayu hatinya melihat gadis itu sedang termenung panjang. Mungkin menangisi nasibnya yang berubah dalam sekelip mata.
Sudahlah dituduh berkhalwat, dipaksa kahwin dan tidak sampai sehari, gadis yang sudah menjadi isterinya itu menjadi anak terbuang. Terbayang di matanya tangisan sayu gadis itu apabila dihalau oleh orang tuanya beberapa jam yang lepas.
Wajah bengis Pak Halim menyambut kepulangan mereka pagi itu. Zarul kecut perut melihat sambutan dingin daripada kedua ibu bapa Balqiss. Tapi dia langsung tidak ambil hati. Ibu bapa mana tidak kecewa sekiranya anak mereka ditangkap basah. Sebaik sahaja akad nikah berlangsung, mereka terus dibawa pulang ke rumah keluarga isterinya itu tanpa sambutan atau majlis seperti kebiasaan yang dilalui oleh pasangan pengantin baru yang lain.
“Pak cik, mak cik.. Saya minta maaf. Semua ni salah saya. Balqiss tak salah.” Ujarnya ketika mereka duduk diruang tamu.
Pak Halim dan Mak Imah diam. Kata-katanya langsung tidak diendahkan. Suara tangisan Balqiss di sebelahnya kedengaran.
“Mak.. Ayah... Qiss minta maaf. Qiss tak salah. Percayalah cakap Qiss ni mak, ayah.” Rayu Balqiss berserta esak tangisnya. Dia duduk melutut di depan Mak Imah. Tangan wanita yang telah melahirkannya itu cuba diraih. Tapi Mak Imah lebih pantas melarikannya. Seperti tidak rela disentuh oleh Balqiss.
Balqiss tergamam. Dia menoleh kepada Pak Halim yang sedang berdiri berhampiran jendela. “Ayah.. Qiss minta ampun dengan ayah. Ayah tolonglah percayakan Qiss. Qiss tak salah yah.” rayunya sayu. Dia merangkak perlahan-lahan menghampiri tubuh lelaki tersebut. Kedua belah kaki Pak Halim dipeluk erat.
Pak Halim mendengus. “Selama ni aku percayakan kau Qiss. Aku ingat kau pandai jaga diri, jaga maruah kau. Tapi sekarang! Tengoklah apa yang kau balas kat aku. Kau malukan aku Qiss. Kau conteng arang kat muka aku dengan mak kau. Anak jenis apa kau ni Qiss??” balas lelaki itu dengan nada kecewa. Wajah Balqiss langsung tidak dipandang. Hatinya masih sakit. Walaupun separuh hatinya kuat menyatakan anaknya itu tidak bersalah, tapi rasa kecewa lebih mengusai. Air mata mengalir lesu di pipi tua itu.
Balqiss meraung kuat. Kata-kata ayahnya itu jelas menunjukkan bahawa dia telah mengecewakan dua insan yang amat dikasihinya itu.
“Mak! Tolonglah Qiss mak. Qiss tak buat semua tu. Semua tu fitnah mak. Qiss tak buat. Percayalah.” Balqiss berlari mendapatkan Mak Imah pula. Betapa kuat rasa bersalah menerjah hatinya melihat wajah kecewa kedua insan yang telah menjaganya dari kecil.
Mak Imah membisu. Hanya air mata yang mengalir di pipinya.
“Mak cik, pak cik. Tolong jangan hukum Qiss macam ni. Saya yang salah. Mak cik dengan pak cik hukum jelah saya. Saya minta ampun dengan mak cik dan pak cik. Sungguh. Kami tak salah.” Zarul kembali bersuara. Tapi dia tahu semua itu sia-sia.
“Kamu bawaklah isteri kamu ni pergi. Dia bukan anak aku lagi. Aku haramkan dia pijak kaki kat rumah aku ni.” Pak Halim bersuara perlahan.
Balqiss terdiam.
Zarul seakan tidak percaya mendengar kata-kata tersebut.
Mak Imah mengangkat wajah. Belakang tubuh suaminya dipandang sayu. Air mata yang mengalir dipipinya semakin laju.
“Ayah! Apa yang ayah cakap ni?” Balqiss menyoal perlahan. Dia bangun berdiri di sisi ayahnya.
“Ayah tipu kan? Ayah sengaja nak main-mainkan Qiss kan?” soalnya sambil menggoncang perlahan lengan lelaki itu. Air mata yang mengalir dipipinya dikesat kasar.
Zarul yang memandang bertambah sayu. Semakin kuat rasa bersalahnya melihat keadaan gadis tersebut.
“Kau tak faham lagi ke Qiss? Ayah kau sendiri dah tak mengaku kau tu anak dia. Tunggu apa lagi? Berambuslah!” ujar satu suara dari arah pintu.
Semua mata berpaling pada arah suara berkenaan. Kelihatan wajah mak long Anisah berdiri di muka pintu dengan senyuman sinis.
“Aku dah agak dah. Kau ni memang anak yang tak mengenang budi Balqiss. Sanggup kau malukan mak bapak kau. Sekali dengan aku terkena tempias malu kau tahu tak. Ee apa nak jadilah dengan anak kau ni Halim.” Wanita itu bersuara lantang.
Balqiss tersentak. Geram dengan kedatangan secara tiba-tiba wanita itu.  Tidak lain tidak bukan pasti semata-mata ingin menyakitkan hati mereka anak beranak.
“Kak long. Saya rasa baik kak long balik dulu. Lagipun ini hal keluarga saya. Tak perlulah kak long nak masuk campur.” Emak Balqiss bersuara. Tidak senang dengan kehadiran birasnya.
“Eh Imah! Aku ni mak long dia. Aku ada hak nak tahu masalah dia.” wanita itu mengambil tempat di sebelah Mak Imah.
“Saya tahulah akak tu mak saudara dia. Tapi saya ni mak dia. Akak tak payahlah susah-susah nak campur masalah keluarga saya. Lagipun saya takut nanti berita ni tersebar lagi cepat dari apa yang saya jangka.” Pedas kata-kata tersebut.
Mak long Anisah terdiam. Merah padam wajahnya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut birasnya itu.
“Kau ni memang berlagak Imah. Aku ni datang nak jugak tengok menantu baru kau tu. Nak juga tahu kerjanya, mak bapak dia. Mana tahu kot-kot anak dara kau tu dah terperengkap dengan mamat Indon ke jantan yang entah apa-apa ke.” Wanita itu masih tidak mahu mengalah.
Mak Imah mengeluh perlahan. Wajah menantu barunya itu dipandang seketika. Malu juga dengan kata-kata lancang birasnya itu.
Zarul Zikuan sekadar mendiamkan diri.
“Mak long tak payah nak risaulah. Dia tu Islam. Ada mak bapak. Ada kerja tetap. Bukan mat Indon. Yang paling penting bukan suami orang.” Jawab Balqiss geram. Sempat diperlinya wanita tersebut. Hairan kenapa perangai  mak longnya itu masih tidak berubah. Masih suka menjaja cerita orang. Sedangkan anaknya sendiri sudah menjadi buah mulut orang kampung kerana merampas suami orang.
“Kau ni kan Balqiss! Masih tak berubah. Kau ni memang tak tahu malu!” jerit wanita itu geram. Wajah Balqiss yang sudah kembali duduk di sebelah suaminya itu dipandang geram.
Balqiss ingin menjawab, tetapi terus diam sebaik saja melihat Zarul Zikuan menggelengkan kepala beberapa kali.
“Sudahlah kak. Kak long tak payahlah nak tambahkan lagi serabut kepala saya ni. Kalau kak long tak datang pun, saya tak kisah. Zarul. Kamu bawaklah isteri kamu ni balik. Ingat apa yang pak cik cakap tadi. Jadilah suami yang baik. Jaga isteri kamu tu elok-elok.” Akhirnya Pak Halim bersuara. Dia pantas berlalu meninggalkan ruang tamu.
Balqiss terpinga-pinga. Tidak sangka ayahnya betul-betul sudah membuangnya. Malah lelaki itu langsung tidak memandang wajahnya. Dia mengetap bibir. Cuba menahan tangis.
“Mak! Tolong mak. Tolong pujuk ayah. Qiss tak salah mak. Tolonglah percaya cakap Qiss. Qiss betul-betul tak salah. Mak tolonglah mak. Jangan buat Qiss macam ni. Qiss sayangkan mak dengan ayah. Qiss tak nak jadi anak terbuang...” Rayu Balqiss bersungguh-sungguh. Kedua kaki Mak Imah dicium bertalu-talu.
Zarul cepat-cepat mengangkat tubuh gadis yang sudah menjadi isterinya itu. Tangan Balqiss diusap perlahan. Cuba menenangkan hati Balqiss. Tangan wanita yang masih membeku di atas kerusi itu dicapai dan dikucup hormat.
“Mak cik. Saya minta maaf banyak-banyak dengan mak cik dan keluarga mak cik. Saya janji akan jaga anak mak cik baik-baik. Saya harap mak cik dan pak cik restuilah perkahwinan kami ni. Saya harap sangat jasa baik mak cik. Sebab saya tahu, perkahwinan yang tak direstui tidak akan diredhai oleh-Nya. Sekali lagi saya minta ampun dengan mak cik sekeluarga.” Ucapnya lirih. Wajah beku ibu mertuanya itu dipandang.
Setelah pasti wanita itu tidak akan membalas kata-katanya, Zarul menarik pula tangan Balqiss dan diletakkan ditangan wanita tersebut.
Mak Imah tidak sampai hati menepis perbuatan menantunya itu. Sejuk hatinya memandang tingkah laku pemuda tersebut. Kalau bukan disebabkan peristiwa tangkap basah, pasti dialah orang yang paling gembira dengan perkahwinan anak bongsunya itu.
Balqiss mencium lembut tangan yang sudah menjaganya sejak masih merah itu. Tubuh mak Imah dipeluk erat. Kedua-dua pipi wanita itu dikucup lama. Hatinya terasa disiat-siat apabila langsung tiada tindak balas daripada emaknya itu. Biasanya Mak Imah akan membalas pelukannya dan turut mengucup kedua belah pipinya. Tapi dia tahu semua itu tidak akan terjadi.
“Qiss minta ampun banyak-banyak dengan mak. Halalkan air susu dan makan minum Qiss selama ni. Terima kasih sebab mak dah lahirkan Qiss ke dunia ni. Qiss sayang mak dengan ayah sampai akhir hayat Qiss. Qiss minta maaf mak. Mak tolong ampunkan Qiss mak... Qiss tak nak tinggalkan mak. Qiss tak puas lagi merasa kasih sayang mak dengan ayah. Qiss tak nak jadi anak derhaka mak. Qiss nak jaga mak, jaga ayah. Qiss minta ampun mak...” Balqiss sudah teresak-esak. Dia terjelepuk jatuh.
“Tolonglah mak.. Ampunkanlah Qiss.. Qiss sayangkan mak..” rayunya lagi. Suara tangisannya makin kuat. Dia sujud di kaki wanita tersebut.
Mak Imah membatu. Hanya air matanya saja mengalir tanpa henti. Terasa sejuk air mata anaknya di kakinya.
Mak long Anisah tersenyum sinis. Puas hatinya melihat kesedihan yang menyelubungi dua beranak itu.
Zarul turut sayu. Air mata lelakinya menitis memandang kelakuan gadis tersebut. Tubuh Balqiss ditarik perlahan-lahan.
“Mak.... Jangan buat Qiss macam ni. Pandanglah Qiss mak...” rayuan Balqiss tidak henti-henti sehingga tubuhnya dibawa masuk ke perut kereta. Pak Leman yang menjemput pasangan suami isteri itu turut tersentuh melihat adegan tersebut.
Dia terus bertolak ke kampung gadis tersebut sebaik saja dimaklumkan tentang peristiwa tangkap basah itu malam tadi. Ibu bapanya tidak dapat datang kerana Dato’ Muhd Zahari ada mesyuarat dengan bakal rakan kogsi mereka yang baru tiba dari Jerman.
Balqiss masih teresak-esak di dalam kereta. Air matanya begitu murah saat itu. Renungan Zarul dan pandangan Pak Leman langsung tidak dihiraukan. Dia hanya melayan rasa sedihnya. Akhirnya dia tertidur akibat keletihan terlalu banyak menangis.
Zarul sekadar menyepikan diri. Matanya langsung tidak berkalih dari memandang wajah Balqiss yang sudah dibasahi dengan air mata itu. Hatinya berdoa beberapa kali.
Ya Allah. Andainya dia jodohku, Kau kurniakanlah rasa cinta, kasih dan sayangku padanya. Tapi jika dia bukan untukku, kau kuatkanlah hatiku menghadapi dugaanMu yang bakal mendatang.














Andai Dia Jodohku ep 27



BAB 27
Balqiss yang sedang tekun menaip tersentak. Bunyi ketukan yang bertalu-talu dari luar semakin kuat. Hish! Siapa pulak yang datang malam-malam ni. Bebelnya. Tombol pintu tetap dibuka. Tersembul seorang pemuda memapah lelaki yang nampak sudah tidak sedarkan diri. Terus dibaringkan tubuh lelaki yang sudah lemah itu di atas katil.
“Eh! Apesal tiba-tiba datang bilik saya ni? Awak ni siapa? Dia ni pulak siapa?” soal Balqiss bertalu-talu.
Lelaki yang nampak muda beberapa tahun darinya itu mendiamkan diri. Walaupun jelas nampak riak terkejut diwajahnya. Dia terus berlalu sebaik saja  selesai kerjanya.
“Eh! Awak! Tunggu!” jerit Balqiss kuat. Tapi lelaki itu langsung tidak mengendahkan panggilannya.
Nafasnya dilepaskan kasar. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membiarkan pintu terbuka luas. Langkah diatur ke arah katil. Tubuh pemuda yang nampak sedang membelakanginya dipandang geram. Ditarik sedikit bahu lelaki itu agar dapat melihat dengan jelas wajahnya. Alangkah terkejutnya Balqiss sebaik saja memandang wajah itu.
“Zzz...Zarul?” bisiknya perlahan.
“Zarul! Bangun!” tubuh lelaki itu digoncang beberapa kali. Kedua pipi lelaki itu juga ditampar lembut. Tapi langsung tidak berhasil.
Hish! Apa aku nak buat  ni. Balqiss buntu. Dia berjalan mundar mandir di dalam bilik. Memikirkan cara untuk mengejutkan lelaki tersebut. Akhirnya senyuman terukir di bibir. Dia pantas melangkah ke dalam bilik air. Mengisi sedikit air di dalam gayung dan dibawa ke katil Perlahan-lahan dia merenjis air pada wajah Zarul Zikuan.
Balqiss menarik nafas lega sebaik saja mata lelaki itu kelihatan bergerak-gerak.
Zarul Zikuan membuka mata perlahan. Terasa suasana di sekelilingnya agak asing. Kelihatan seorang gadis sedang duduk disisinya. Matanya ditenyeh beberapa kali.
“Eh! Balqiss! Kau buat apa kat sini?” soal Zarul Zikuan sebaik saja wajah gadis itu nampak jelas dimatanya.  Dia bingkas bangun. Duduk bersila di atas katil. Menghadap Balqiss.
Balqiss mencuka. Geram dengan perangai lelaki di depannya itu. Belum sempat dia membalas, terdengar suara orang memberi salam.
“Assalamualaikum.”
Zarul Zikuan dan Balqiss berpandangan.
“Waalaikummussalam.” Jawab Balqiss sambil melangkah ke pintu. Kelihatan beberapa orang lelaki agak berumur berdiri di depan pintu.Hatinya sudah berasa tidak enak. Lelaki-lelaki berkopiah itu memandangnya denag pandangan yang amat sukar ditafsirkan.
“Err.. Ada apa ni encik?” soalnya teragak-agak. Tombol pintu dipegang kejap.
“Kami terima aduan ada berlaku perkara sumbang kat sini. Mana pasangan kamu?” lelaki berbaju melayu putih bersuara.
Terasa lemah lutut Balqiss mendengar kata-kata tersebut. Air matnya mengalir laju.
Zarul Zikuan bingkas bangun. Dia dapat mendengar dengan jelas kata-kata lelaki dari luar bilik itu. Dia menuju menghampiri Balqiss yang sudah lemah di tepi pintu.
“Tapi kami tak salah encik.” Jawabnya cuba membela diri.
“Kamu ni pasangan suami isteri ke?” soal salah seorang daripada lima lelaki berkopiah itu.
Zarul Zikuan mengeleng. Wajah Balqiss yang sudah dibasahi dengan air mata dipandang sayu.
“Dah tu? Apa kamu buat kat sini? Masih tak nak mengaku lagi?” soal lelaki yang memakai tag nama Fuad itu sinis.
“Kami terpaksa tahan kamu berdua. Sila ikut kami dan beri kerjasama.” Ujar lelaki itu lagi tegas.
Zarul Zikuan terpana.
Balqiss terduduk. Seluruh tubuhnya terasa semakin lemah sebaik mendengar kata-kata tersebut. Wajah ibu bapanya di kampung menari-nari di ruang mata. Akhirnya Balqiss terkulai tidak sedarkan diri.





Andai Dia Jodohku ep26



BAB 26
Zarul Zikuan melangkah perlahan. Dari jauh dia sudah mendengar bunyi muzik yang agak kuat. Pasti datang dari majlis Farid, fikirnya. Dia yang hanya berpakaian ringkas sudah berkira-kira untuk pulang lebih awal nanti. Kegusaran hatinya sejak petang tadi masih belum hilang. Agak ramai tetamu yang dijemput oleh Farid. Mereka kelihatan seronok menari dan menjamu hidangan yang telah disediakan. Tiba-tiba Zarul terasa bahunya disentuh lembut.
“Hai Zarul! You baru sampai ke?” tegur wanita itu sambil tersenyum menggoda.
Zarul sekadar mengangguk. Matanya melirik seketika memandang tubuh wanita tersebut. Pantas dia beristighafar. Wanita itu hanya memakai dress ketat paras peha tanpa lengan dan agak jarang. Jika dia berdiri di bawah lampu, pasti boleh nampak dengan jelas setiap lekuk tubuhnya. Bahkan Nurin seakan sengaja merapatkan tubuhnya. Tetapi dia tidak mengendahkan perlakuan wanita itu..
You... Jom temankan I menari.” Rengek Nurin sambil memeluk mesra lengan sasa Zarul. Lelaki itu ditarik menuju ke ruang tari.
“Err. Nurin. You pergi dulu. I kan baru sampai. I nak pergi jumpa Farid kejap.” Pegangan dilengannya dirungkai. Tidak mahu berlama-lama dengan wanita tersebut. Tanpa mempedulikan wanita yang sudah memuncung itu, dia terus melangkah menghampiri Farid yang dilihat sedang rancak berbual dengan beberapa orang tetamu.
Belakang bahu lelaki itu ditepuk agak kuat.
“Woi! Sakitlah!” ujar Farid agak kuat. Dia berpaling. Matanya ditenyeh beberapa kali. Seakan tidak percaya.
“Eh Zarul!! Tak sangka aku kau datang jugak kat majlis aku ni.” Ujarnya teruja.
Zarul tersenyum dan mengangguk. Mereka berpelukan seketika. Gembira dapat bersua kembali setelah agak lama masing-masing menyepikan diri.
“Terpaksalah datang. Kalau diikutkan hati aku ni, memang aku takkan datang. Tua-tua macam ni pun ada hati lagi nak sambut birthday. Ee geli aku dengar.” Balas Zarul Zikuan selamba. Tubuhnya digoyang membuat muka geli.
Farid ketawa kuat. Bahu teman baiknya ketika di London dulu ditumbuk lembut. Langsung tidak ambil hati dengan gurauan lelaki itu.
“Alah! Aku bukan nak buat sangat. Saja je nak kumpul balik kawan-kawan. Macam kau nilah. Kalau aku tak buat macam ni, memang dah sah-sah kau takkan datang kan?” keningnya diangkat. Menunggu jawapan yang keluar dari bibir lelaki itu.
Zarul turut ketawa. Bahunya dijungkit.
“Kau dah makan ke? Jomlah aku temankan kau makan. Lagipun dah lama aku tak dapat borak dengan kau.” Pelawa Farid lembut. Gembira dengan kedatangan lelaki di sebelahnya itu.
Zarul Zikuan sekadar menurut. Fikirnya inilah peluang untuknya mengelak daripada wanita bernama Nurin. Mereka melangkah menuju ke ruangan yang menyediakan hidangan. Sambil menjamu selera, kedua sahabat itu begitu rancak berbual. Daripada soal pejabat hinggalah kepada peribadi. Barulah Zarul faham kenapa lelaki itu memilih pulau tersebut sebagai lokasi, sebenarnya chalet dimana tempatnya menginap merupakan milik ibu bapa Farid. Dan Faridlah yang akan mewarisi perusahaan chalet mewah tersebut.
“Zarul. Kau jangan balik lagi yek. Banyak lagi aku nak sembang dengan kau. Aku nak kesana kejap.” Pesan Farid sambil menunjukkan ke arah tetamu yang masih ramai. Dia menepuk mesra bahu Zarul Zikuan sebelum berlalu.
Zarul sekadar memandang langkah lelaki yang semakin menjauh. Dia akur dengan permintaan sahabatnya itu. Akhirnya dia memilih untuk mengambil angin ditepi pantai. Suasana yang masih rancak langsung tidak mampu menarik minatnya.
Tiba-tiba ketenangannya diragut.
“Hai Zarul! Apa you buat duduk sorang-sorang kat sini?” tegur satu suara yang amat dikenalinya.
Zarul mengeluh lemah. Mahu tak mahu terpaksa juga dipandang wajah wanita tersebut untuk seketika. Sebelum kembali menghadap laut.
Nurin tersenyum. Tahu kehadirannya disitu tidak disenangi. Tapi malam ini dia ada kejutan yang pastinya menjadi kenangan yang tak mampu dilupakan oleh lelaki di depannya itu. Seorang pelayan lelaki yang sedang menatang dulang berisi beberapa gelas minuman digamit menghampiri mereka.
Dua gelas minuman dicapai. Sebaik saja pelayan tersebut berlalu, satu pek berisi serbuk putih dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam salah satu gelas. Dia bangun dan menyerahkan gelas ditangan kanannya kepada lelaki yang sedang khusyuk menghadap laut itu.
“Nah! Pasti you dahaga kan.”
Zarul yang langsung tidak mampu menebak niat wanita itu mencapai gelas yang dihulurkan. Air diteguk hingga habis. Memang ketika itu dia sedang dahaga.
Nurin tersenyum penuh makna. Tidak disangka lelaki di depannya itu begitu cepat masuk ke dalam perangkapnya.
Selang beberapa minit kelihatan Zarul sudah memicit dahi. Matanya berasa kabur. Pandangannya sudah berpinar-pinar. Malah dia sudah tidak mampu mengimbangi tubuhnya. Telinganya seakan terdengar bisikan suara wanita dan juga perbualan antara wanita tersebut dengan seorang lelaki. Tapi dia tidak memahami setiap butir bicara mereka. Akhirnya dia sudah tidak sedar apa yang berlaku.
Nurin tersenyum. Lelaki upahannya memegang tubuh Zarul yang sudah terkulai lemah itu.
“Kau hantar dia kat bilik aku. Nombor 106. Bilik yang menghadap laut.” Arahnya sambil tersenyum senang. Tubuh Zarul yang dibawa pergi dipandang seketika. Kemudian dia melangkah menghampiri lelaki yang sedang memerhatikannya sedari tadi.
You buat apa lagi kat sini. Pergilah. Nanti I call orang-orang tu.” lelaki itu bersuara dengan wajah serius.
Nurin tergelak manja. “Alah you. Nantilah dulu. I belum puas lagi enjoy dengan you.” Rengeknya.
“Nanti-nantilah. Sekarang ni I nak you balik ke bilik you dulu.” Arah Malik tegas. Langsung tidak diendahkan rengekan wanita disebelahnya itu.

Andai Dia Jodohku ep 25


\

BAB 25
Zarul Zikuan melangkah tergesa-gesa. Hari ini dia terpaksa ke Pulau Perhentian kerana akan menyambut ulang tahun kelahiran salah seorang daripada temannya ketika belajar di luar negara beberapa tahun yang lepas. Rasa tidak enak pula jika tidak hadir. Kerja di pejabat yang menimbun terpaksa ditinggalkan. Wajah Mak Som yang sedang menunggunya di anak tangga paling bawah dipandang.
“Hah Wan! Dah siap packing ke? Takde yang tertinggal?” soal Mak Som. Pembantu rumah yang sudah sekian lama berkhidmat dengan mereka sekeluarga.
Zarul mengangguk perlahan. Dihadiahkan senyuman manis kepada wanita tersebut. Beg bajunya diletakkan di atas sofa di ruang tamu.
“Dah mak. Lagipun Wan pergi sana tak lama. Esok Wan baliklah.” Balasnya.
“Kalau macam tu takpelah. Marilah makan dulu. Mak ada buatkan Nasi Lemak pagi tadi. Dengan sambal kerang.” Ujar wanita yang dipanggil emak itu. Wanita itulah yang bertanggungjawab membesarkannya selama ini.
Zarul Zikuan sekadar menurut. Memang perutnya juga sudah berasa lapar. Aroma Nasi Lemak yang masih berasap di atas meja membuka seleranya.
“Mak. Ibu dengan abah tak turun lagi ke?” soalnya sebelum membaca doa makan.
“Ibu Wan dah turun tadi. Naik balik ke bilik. Mungkin tolong abah bersiap kot. Takpelah. Wan makanlah dulu. Nanti turunlah mereka berdua tu.” jawab Mak Som lembut.
 Mak Som tersenyum. Kembang hatinya melihat pemuda yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri begitu berselera menjamah Nasi Lemak yang disediakan. Sampai bertambah tiga kali.
 “Cukuplah mak. Wan dah tak larat ni. Kenyang sangat dah.” Ujar Zarul Zikuan sambil menolak pinggannya ke tepi. Gelas yang berisi air kosong dicapai dan diteguk hingga habis. Memang sudah menjadi kebiasaannya kurang berminat dengan minuman manis.
 “Hai Wan! Cepatnya habis makan. Bukan ke mak buat sambal kerang kesukaan Wan ke?” tegur Datin Azizah yang baru mengambil tempat di meja makan. Dato’ Muhd Zahari juga mengambil tempat di hujung meja. Tersenyum memandang wajah anak lelakinya itu.
“Memanglah bu. Wan dah tak larat dah. Dah tiga kali tambah dah bu.” Balas Zarul Zikuan lembut. Perutnya digosok beberapa kali.
“Bila flight Wan ke Terengganu?”soal Dato’ Muhd Zahari.
“Pukul 10 setengah abah.”
“Dah tu apesal tak pergi lagi? Nanti Pak Leman nak hantar abah pulak ke office.” Ujar lelaki itu lagi.
Zarul tersengih. Lupa pula yang pemandu yang akan menghantarnya ke airport terpaksa pulang semua ke rumah untuk mengambil abahnya.
“Oklah. Wan pergi dulu.” Zarul Zikuan meminta diri. Tangan ketiga-tiga insan yang begitu bermakna dalam hidupnya disalam dan dikucup hormat.
“Jaga diri baik-baik. Sampai nanti call ibu.” Pesan Datin Azizah.
Zarul Zikuan mengangguk. “Pergi dulu abah, ibu, mak. Assalamualaikum.”
Zarul Zikuan berlalu. Kereta yang dipandu oleh Pak Leman terus bergerak meninggalkan laman rumah banglo tersebut.
*         *          *          *          *
Balqiss tersenyum gembira sebaik saja kakinya mencecah bumi Pulau Perhentian. Hampir tiga jam dia terpaksa menunggu bot di jeti Kuala Besut. Khabarnya bot yang sepatutnya membawanya ke pulau tersebut rosak. Mujurlah ada pemilik bot yang sudi menghantarnya ke pulau yang menjadi kebanggaan penduduk Besut itu.
Kakinya diatur menuju ke kaunter chalet. Ingin merehatkan badan dan menunaikan kewajipan sebagai umat Islam. Akhirnya dia memilih sebuah chalet yang berhadapan dengan laut. Tingkap bilik dibuka. Angin laut menerobos masuk ke dalam biliknya. Selendang yang melilit dikepala dibuka dan digantung pada rak yang telah disediakan. Tubuhnya yang melekit perlu dibersihkan. Dia segera berlalu ke bilik air.
Selesai saja solat dan berdoa memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan rezeki yang membolehkannya berada di tempat seindah Pulau Perhentian itu, Balqiss terus bersiap-siap untuk keluar mengambil angin di tepi pantai. Baru dia perasan, tempat penginapannya berdekatan dengan beberapa rumah penduduk kampung.
Sempat dia berbual-bual dengan beberapa wanita yang sedang duduk mengambil angin petang di tepi pantai. Balqiss senang dengan kemesraan penduduk di situ. Mujurlah dia juga anak kelahiran Dungun, Terengganu. Sedikit sebanyak dia dapat memahami loghat percakapan penduduk pulau tersebut yang lebih kepada loghat negeri Kelantan.
Dapat dilihat agak ramai pelancong yang datang bercuti ke pulau peranginan itu. Masing-masing nampak begitu teruja untuk mandi air laut dan melakukan aktiviti-aktiviti pantai yang telah disediakan oleh pihak chalet. Ada segelintir pelancong yang lebih selesa untuk berbogel ketika berjemur di tepi pantai. Balqiss sendiri berasa malu melihat keadaan-keadaan tersebut. Tetapi menurut penduduk di sini, mereka sudah biasa dengan keadaan sedemikian. Malah ada segelintir remaja Islam juga turut berkeadaan sedemikian apabila berada di pulau tersebut.
*         *          *          *          *
Zarul Zikuan termenung panjang. Deruan ombak dan hembusan angin laut tidak mampu meredakan kegusaran hatinya. Hatinya berasa tidak enak sebaik saja tiba di pulau tersebut. Dia sendiri tidak mampu mencari jawapan kenapa dia berkeadaan demikian. Ajakan teman-temannya untuk mandi laut langsung tidak diendahkan. Dia lebih memilih bersendirian di bilik.
Malah sebentar tadi pun dia terkejut apabila terserempak dengan Nurin di pulau itu. Wanita itu juga merupakan kenalan Farid, lelaki yang akan diraikan malam nanti. Bukan itu saja, dia turut dikejutkan dengan berita bahawa Farid merupakan sepupu kepada Malik, saingan perniagaannya. Bukan dia tidak tahu, lelaki bernama Malik itu merupakan seorang yang sentiasa cuba bersaing dengannya dalam mendapatkan tender-tender perniagaan.
Malah Malik sanggup melakukan apa saja demi mencapai apa yang diinginkannya. Bukan dia tidak tahu, Malik sering menggunakan cara kotor semasa berurus niaga. Kerana itulah hubungannya dengan Malik tidak mesra. Dia tidak suka berurusan dengan individu sebegitu.

Andai Dia Jodohku ep 24



BAB 24
Balqiss tekun melipat pakaian yang akan dibawanya sepanjang bercuti nanti. Itulah rutinnya setiap kali sudah kehabisan idea untuk menghasilkan buku terbaru. Dia langsung tidak kisah bercuti sendirian. Baginya dengan itu akan lebih memudahkannya dalam mendapatkan idea-idea baru yang lebih bagus. Kali ini Pulau Perhentian menjadi destinasi pilihannya.
Terjenggul wajah Liyana dan Emmy di muka pintu.
“Qiss. Kali ni kau pergi berapa lama?” soal Emmy sambil merebahkan badannya di sisi Balqiss.
“Entahlah. Tak pasti lagi. Apesal?”
“Takdelah. Kau takde kat rumah. Aku bosanlah. Kalau nak harapkan minah tu temankan aku, huh jangan haraplah.” Balas Emmy. Mulutnya dihalakan kepada Liyana yang terbaring di sisinya.
“Ek eleh minah ni. Kau jangan layan sangat si Emmy tu Qis. Mengada je lebih. Aku takut nanti dia je yang tak lekat kat rumah. Asyik berkepit aje dengan si Hasrul dia tu.” Liyana pula membalas. Kepala Emmy ditolak lembut.
“Hish! Kau ni kan!” Emmy berpura-pura marah. Tangan Liyana ditepis lembut.
“Apa?” Liyana menyoal. Pinggang Emmy dicuit beberapa kali. Emmy tergeliat kegelian. Riuh bilik itu dengan tawa gadis mereka berdua.
Balqiss turut ketawa. Geli hatinya dengan perangai gadis-gadis tersebut.
“Weh korang! Runtuh katil aku ni kang.” Balqiss bersuara.
“Alah kau ni Qiss. Kalau runtuh, kau suruh jelah si Emmy bodek cik abang dia. Kan si Hasrul tu tauke perabot.” Liyana terkekek ketawa.
Emmy sudah menayang muka. “Kau ingat kilang perabot tu dia yang punya ke? Tu bapak dia punyalah.” Balas Emmy geram. Giliran dia pula menggeletek Liyana.
“Weh Emmy. Dah-dah. Aku letih...” akhirnya Liyana mengaku kalah. Peluh di dahi diseka. Jelas kelihatan keletihan di wajahnya. Emmy tersenyum menang.
“Qiss.. Kalau boleh aku pun nak ikut kau. Aku dah lama teringin nak ke pulau tu. Tapi masalahnya aku tak boleh ambik cutilah. Nanti nak kahwin, kena cuti lagi. Mengamuk pulak si botak tu karang.” Emmy bersuara. Terbayang wajah bosnya yang digelar si botak itu. Walaupun Emmy pekerja kesayangannya, tapi setiap kali memohon cuti, pasti sukar diluluskan.
“Alah! Kau bukan tak tahu. Si botak kesayangan kau tu sebenarnya bukan apa. Dia takut dia rindukan kau kalau kau cuti lama-lama sangat. Sebab tu dia tak luluskan cuti kau tu.” usik Balqiss.
Emmy tersengih. Memang itulah modal mereka untuk mengenakannya.
“Banyaklah kau punya rindu. Kau nak suruh aku jadi bini nombor empat ke apa?” balas Emmy dengan matanya dibeliakkan.
“Elok jugak tu.” Liyana pantas membalas. Dia tergelak kecil apabila satu cubitan singgah dipehanya. Tak lain tak bukan kerja si Emmy.
“Hish! Gila! Tak nak aku. Lagipun tak sanggup aku kena serang dengan bini nombor tiga dia tu. Takut sangat laki dia kena kebas. Padahal bukan dia tak sedar yang dia pun rampas laki orang.” Emmy menggeleng beberapa kali. Dapat dibayangkan wajah isteri ketiga bosnya itu. Sudahlah susah untuk senyum, mulutnya pula boleh tahan pedasnya.
“Kalau dia fire kau, kau firelah dia balik.” Ajar Liyana.
“Malaslah aku layan korang ni. Cik abang aku dah ada. Beratus-ratus kali ganda lagi handsome dari si botak tu. Lagipun nanti lepas kahwin, Hasrul suruh aku kerja dengan dia je. Senang. Tiap-tiap hari boleh berkepit. Jangan jeles ek Miss Liyana.” Emmy tersenyum bangga. Pipi Liyana dicuit gatal.
“Uwek!! Takde maknanya aku nak jeles.” Liyana berpura-pura ingin muntah.
Balqiss buat-buat tak dengar.
“Ek eleh! Ye ke ni? Macam tak percaya je. Entah-entah nanti kau pun bodek gak cik abang kau tu nak kerja kat hotel dia. Kau ni bukan boleh pakai sangat Yana.” Emmy masih tidak mahu mengalah. Wajah Liyana di depannya itu dipandang geram.
“Alah! Kau tu boleh ke kalau nak resign dari syarikat tu? Entah-entah nanti kau yang rindukan si botak. Maklumlah. Aku tengok botak tu handsome jugak.” Liyana masih ingin mengusik.
“Takde! Hasrul aku lagi handsome. Kan Qiss?” Emmy cuba memancing Balqiss agar gadis itu menyebelahinya.
Balqiss tersenyum. “Iyelah. Handsome. Tapi kan, aku tengok kau dengan botak tu pun sesuai jugak. Lebih sesuai daripada kau dengan Hasrul.” Balas Balqiss sambil disambut gelak kuat Liyana.
“Qiss! Yana! Jahatlah korang ni!” jerit Emmy geram. Wajahnya sudah mencuka.
Balqiss dan Liyana masih galak ketawa. Merah padam muka dua gadis itu akibat terlalu banyak ketawa.
“Huh! Tak naklah layan korang!” Emmy pura-pura merajuk. Dia terus bangun dan melangkah keluar daripada bilik Balqiss.
Balqiss dan Liyana berpandangan seketika. Mereka menjungkit bahu. Kemudian terdengar kembali tawa kuat dari dua gadis tersebut. Rajuk Emmy langsung tidak dihiraukan.

Andai Dia Jodohku ep 23



BAB 23
Zarul Zikuan menyuap perlahan makanan yang terhidang di depan matanya. Hari ini dia sengaja memilih untuk keluar makan sendirian. Resah dihatinya semakin tidak menentu. Tapi dia sengaja tidak mengendahkan apa yang wujud di hatinya itu. Mungkin mainan perasaan sahaja, tebaknya. Manusia yang semakin memenuhi ruang restoran ini langsung tidak dihiraukan.
“Hai sayang!” tegur satu suara.
Suapan Zarul terhenti. Wajah cantik didepannya dipandang lama. Cuba mengingat kembali gerangan wanita tersebut.
“Sayang! Apesal you macam blur je? You dah lupakan I ke?” soal wanita itu dengan wajah kelat.
“Err.. I... I... Bukan lupa... Just tak berapa ingat je.” Balas Zarul Zikuan berterus terang.
Wanita itu melabuhkan punggung di depannya.
“Sampai hati you sayang. I lah, Nurin. Dah lama I tunggu you call I. Apesal you tak cari I sayang? You tak rindukan I ke?” soal wanita itu lagi dengan lenggok menggodanya.
“Hooo... Nurin.. I tak pernah lupakan you. Cuma I sekarang ni busy sikit. Banyak sangat kerja kat office tu. Sampai nak keluar pun susah.” Zarul tersenyum manis. Permukaan meja diketuk perlahan dengan jarinya. Cuba mengingat kembali gerangan wanita bernama Nurin itu.
Nurin tersenyum manis. Niat di hatinya cuma satu. Ingin menggoda lelaki muda yang semakin diperkatakan sebagai salah seorang peneraju syarikat gergasi yang berjaya itu.
Nevermind sayang. I faham kerja you. Maklumlah. You kan dah nak ambil alih company bapak you tu. Mesti kena kerja keras sikit kan.”
Zarul mengangguk pelahan. Dia sebenarnya masih sukar untuk mengembalikan ingatan tentang wanita tersebut. Kerana itulah dia lebih memilih untuk berdiam diri. Takut nanti dia terlepas cakap.
“Nurin. You datang dengan siapa? Sorang je ke?” soal Zarul cuba beramah.
Senyuman menggoda tidak lekang di bibir wanita yang hanya memakai blouse ketat tanpa lengan dan berskirt paras lutut itu. Solekan tebal di wajahnya nampak agak keterlaluan dan tidak sesuai dengan penampilannya.
“Aah. Tak sangka pulak terserempak dengan you kat sini.” Balasnya manja.
“Ooh. I pun tak plan nak datang sini. Saja singgah lunch. Nampaknya I dah lewat ni. Ada meeting. Oklah Nurin. I pergi dulu. Nice meeting you.” Balas Zarul selamba. Dia sengaja berlakon melihat jam dan berlagak sudah lewat. Sebenarnya dia berasa tidak selesa berdua-duaan dengan wanita tersebut. Terasa seperti mereka sedang diperhatikan. Dia bingkas bangun meninggalkan ruang restoran.
*         *          *          *          *
Balqiss tersenyum sinis. Wajah lelaki yang sedang berbual dengan wanita di salah satu meja yang agak terlindung itu amat dikenalinya. Sudah beberapa kali dia terserempak dengan lelaki tersebut. Dan setiap kali terserempak, pasti lelaki itu bersama perempuan yang berbeza.
Huh! Dasar buaya! Desisnya perlahan.
Dia sendiri hairan. Apa yang telah merasuknya menemani lelaki tersebut beberapa bulan yang lepas. Walhal koleksi teman wanita Zarul Zikuan semuanya cantik-cantik dan bergaya. Sudahlah terpaksa berdepan dengan lelaki sengal itu seharian, ditambah lagi dengan persoalan-persoalan yang terpaksa dijawabnya oleh insan di sekelilingnya. Terlintas dihatinya bahawa menemani lelaki tersebut merupakan satu kesilapan besar yang telah dilakukan dalam hidupnya.
Tiba-tiba mata Balqiss menangkap kelibat seorang lelaki yang duduk tidak jauh dari meja Zarul Zikuan. Lelaki yang memakai kemeja berwarna hitam itu kelihatan begitu tekun memandang kearah pasangan yang sedang berbual itu. Balqiss pelik. Tindak tanduk lelaki itu membuatkannya berasa ada sesuatu yang tidak kena.
Ah! Buat apa aku susah-susah nak fikirkan hal orang. Baik aku blah je. Hati Balqiss berbisik.
Akhirnya Balqiss mengambil keputusan untuk meninggalkan restoran tersebut. Cek yang masih berada di tangan disimpan di dalam poket seluar. Dia bergegas keluar. Baru saja tangannya ingin menarik pintu restoran itu, tiba-tiba...
“Aduh!” Balqiss menggosok perlahan bahunya yang dirempuh agak kuat dari arah belakang. Mujurlah dia sempat mengimbangi tubuhnya. Kalau tidak, mahunya dia terpelanting di depan pintu restoran tersebut.
“Err.. Sorry-sorry cik. Saya tak sengaja. Awak tak apa-apa ke? Nak saya ban....” kata-kata Zarul terhenti. Bulat matanya sebaik saja gadis yang dirempuhnya itu mengangkat wajah.
“Kau!” mereka bersuara serentak. Jari telunjuk Balqiss tepat ke wajah Zarul Zikuan.
“Apesal tiap kali aku jumpa kau selalu je nasib aku jadi malang hah? Kau ni memang bawak malang ke?” soal Balqiss kasar. Bahunya yang masih terasa sengal digosok pelahan. Sakit gila mamat sengal ni langgar aku. Tubuh dia besi ke apa. Bebel hatinya.
Zarul tersentap. Memang dia sudah maklum mulut gadis itu sentiasa lancang apabila berkata-kata.
“Mulut kau tu takde insurans ke hah?” soal Zarul geram. Lengan Balqiss ditarik dan gadis itu diseret hingga ke tempat parking kereta. Tidak mahu pergaduhan mereka dijadikan bahan tontonan pelanggan restoran tersebut.
“Kau ni apesal hah? Siapa bagi kau hak pegang-pegang aku? Kau ni memang sengaja je kan cari pasal ngan aku.” Marah Balqiss. Memang pantang baginya diseret sewenang-wenangnya seperti itu. Sudahlah bukan muhrim.
Zarul menayang muka tak bersalah. “Sorrylah. Kau tu dahlah cakap kuat. Suara kau je satu restoran tu boleh dengar. Malulah aku.” Jawabnya membela diri.
Balqiss terdiam. Lupa seketika mereka sedang berada di tempat awam.
“Apesal kau diam?” wajah Balqiss yang sedang membuat ‘fish mouth’ dipandang. Cantik!
Balqiss menggeleng beberapa kali.
“Aku nak baliklah!” ujarnya pantas.
“Hah! Pergilah balik! Nanti lama-lama kau kat sini, ada pulak benda yang jadi. Letih aku nak layan perangai singa lapar kau tu.” Zarul menghalau.
“Hek eleh mamat sengal ni. Aku cepuk kang! Aku pun tak ingin nak mengadap muka tak cukup lima sen kau tulah. Buat sakit mata je.” Balas Balqiss geram. Dia terus berlalu meninggalkan Zarul yang masih terpacak di tempat parking kereta itu.
Zarul terdiam. Langkah gadis tersebut dipandang geram. Ada ke patut cakap muka aku yang handsome ni tak cukup lima sen. Dah gila ke apa si singa lapar ni. Bebelnya sendirian. Enjin kereta dihidupkan. Menderum Alfa Romeo miliknya itu meninggalkan kawasan tersebut.
*         *          *          *          *
“Hai sayang!” Nurin yang sedang berehat di sofa diruang tamu apartment mewahnya tersentak. Terasa kepalanya dikucup lembut.
“Hai! Apesal you lewat hari ni? Lama I tunggu tau...” rengeknya manja. Tubuhnya disandar di dada lelaki yang sudah mengambil tempat disebelahnya itu.
Sorrylah sayang. I busy tadi. I ada meeting dengan client.” Balas lelaki tersebut. Rambut Nurin yang dibiarkan lepas itu diusap lembut.
Nurin diam. Terasa senang dibelai sebegitu.
You dah buat ke apa yang I suruh?” soal lelaki itu tiba-tiba.
Nurin mengangguk perlahan.
“Macam mana? Jalan tak?” tubuh Nurin diangkat dan dipusingkan menghadapnya.
Nurin tersenyum manis. “Relakslah Malik. Slow-slow. Lagipun tadi I terserempak dengan dia kat restoran. Sempat jugak berborak dengan dia. Nanti I cuba cari jalan rapat dengan dia. You sabarlah. Jangan bimbang. Serahkan semua tu kat I. I akan uruskan.” Balas Nurin yakin.
Malik tersenyum. Tubuh Nurin dipeluk erat. Seluruh wajah wanita itu dikucup.
Nurin tergelak kecil. Cuba melepaskan diri. Tapi tidak berhasil. Lelaki itu lebih bertenanga. Akhirnya dia rebah di dalam pelukan Malik.