SELAMAT MEMBACA..Jangan lupa tinggalkan komen atau cadangan agar Mya boleh buatkan cerita lebih menarik okeh!datang lagi...sayang korang...(^_*)

Jom follow blog Mya.... ;)

Wednesday 25 July 2012

Andai Dia Jodohku ep 28



BAB 28
 “Qiss.. Aku minta maaf. Aku tak tahu akan jadi macam ni. Aku pun hairan macam mana diorang boleh serbu kita. Maafkan aku Qiss.” Ujar Zarul perlahan. Wajah Balqiss yang masih sembab dipandang sayu. Baru beberapa jam yang lepas mereka dinikahkan. Sayu hatinya melihat gadis itu sedang termenung panjang. Mungkin menangisi nasibnya yang berubah dalam sekelip mata.
Sudahlah dituduh berkhalwat, dipaksa kahwin dan tidak sampai sehari, gadis yang sudah menjadi isterinya itu menjadi anak terbuang. Terbayang di matanya tangisan sayu gadis itu apabila dihalau oleh orang tuanya beberapa jam yang lepas.
Wajah bengis Pak Halim menyambut kepulangan mereka pagi itu. Zarul kecut perut melihat sambutan dingin daripada kedua ibu bapa Balqiss. Tapi dia langsung tidak ambil hati. Ibu bapa mana tidak kecewa sekiranya anak mereka ditangkap basah. Sebaik sahaja akad nikah berlangsung, mereka terus dibawa pulang ke rumah keluarga isterinya itu tanpa sambutan atau majlis seperti kebiasaan yang dilalui oleh pasangan pengantin baru yang lain.
“Pak cik, mak cik.. Saya minta maaf. Semua ni salah saya. Balqiss tak salah.” Ujarnya ketika mereka duduk diruang tamu.
Pak Halim dan Mak Imah diam. Kata-katanya langsung tidak diendahkan. Suara tangisan Balqiss di sebelahnya kedengaran.
“Mak.. Ayah... Qiss minta maaf. Qiss tak salah. Percayalah cakap Qiss ni mak, ayah.” Rayu Balqiss berserta esak tangisnya. Dia duduk melutut di depan Mak Imah. Tangan wanita yang telah melahirkannya itu cuba diraih. Tapi Mak Imah lebih pantas melarikannya. Seperti tidak rela disentuh oleh Balqiss.
Balqiss tergamam. Dia menoleh kepada Pak Halim yang sedang berdiri berhampiran jendela. “Ayah.. Qiss minta ampun dengan ayah. Ayah tolonglah percayakan Qiss. Qiss tak salah yah.” rayunya sayu. Dia merangkak perlahan-lahan menghampiri tubuh lelaki tersebut. Kedua belah kaki Pak Halim dipeluk erat.
Pak Halim mendengus. “Selama ni aku percayakan kau Qiss. Aku ingat kau pandai jaga diri, jaga maruah kau. Tapi sekarang! Tengoklah apa yang kau balas kat aku. Kau malukan aku Qiss. Kau conteng arang kat muka aku dengan mak kau. Anak jenis apa kau ni Qiss??” balas lelaki itu dengan nada kecewa. Wajah Balqiss langsung tidak dipandang. Hatinya masih sakit. Walaupun separuh hatinya kuat menyatakan anaknya itu tidak bersalah, tapi rasa kecewa lebih mengusai. Air mata mengalir lesu di pipi tua itu.
Balqiss meraung kuat. Kata-kata ayahnya itu jelas menunjukkan bahawa dia telah mengecewakan dua insan yang amat dikasihinya itu.
“Mak! Tolonglah Qiss mak. Qiss tak buat semua tu. Semua tu fitnah mak. Qiss tak buat. Percayalah.” Balqiss berlari mendapatkan Mak Imah pula. Betapa kuat rasa bersalah menerjah hatinya melihat wajah kecewa kedua insan yang telah menjaganya dari kecil.
Mak Imah membisu. Hanya air mata yang mengalir di pipinya.
“Mak cik, pak cik. Tolong jangan hukum Qiss macam ni. Saya yang salah. Mak cik dengan pak cik hukum jelah saya. Saya minta ampun dengan mak cik dan pak cik. Sungguh. Kami tak salah.” Zarul kembali bersuara. Tapi dia tahu semua itu sia-sia.
“Kamu bawaklah isteri kamu ni pergi. Dia bukan anak aku lagi. Aku haramkan dia pijak kaki kat rumah aku ni.” Pak Halim bersuara perlahan.
Balqiss terdiam.
Zarul seakan tidak percaya mendengar kata-kata tersebut.
Mak Imah mengangkat wajah. Belakang tubuh suaminya dipandang sayu. Air mata yang mengalir dipipinya semakin laju.
“Ayah! Apa yang ayah cakap ni?” Balqiss menyoal perlahan. Dia bangun berdiri di sisi ayahnya.
“Ayah tipu kan? Ayah sengaja nak main-mainkan Qiss kan?” soalnya sambil menggoncang perlahan lengan lelaki itu. Air mata yang mengalir dipipinya dikesat kasar.
Zarul yang memandang bertambah sayu. Semakin kuat rasa bersalahnya melihat keadaan gadis tersebut.
“Kau tak faham lagi ke Qiss? Ayah kau sendiri dah tak mengaku kau tu anak dia. Tunggu apa lagi? Berambuslah!” ujar satu suara dari arah pintu.
Semua mata berpaling pada arah suara berkenaan. Kelihatan wajah mak long Anisah berdiri di muka pintu dengan senyuman sinis.
“Aku dah agak dah. Kau ni memang anak yang tak mengenang budi Balqiss. Sanggup kau malukan mak bapak kau. Sekali dengan aku terkena tempias malu kau tahu tak. Ee apa nak jadilah dengan anak kau ni Halim.” Wanita itu bersuara lantang.
Balqiss tersentak. Geram dengan kedatangan secara tiba-tiba wanita itu.  Tidak lain tidak bukan pasti semata-mata ingin menyakitkan hati mereka anak beranak.
“Kak long. Saya rasa baik kak long balik dulu. Lagipun ini hal keluarga saya. Tak perlulah kak long nak masuk campur.” Emak Balqiss bersuara. Tidak senang dengan kehadiran birasnya.
“Eh Imah! Aku ni mak long dia. Aku ada hak nak tahu masalah dia.” wanita itu mengambil tempat di sebelah Mak Imah.
“Saya tahulah akak tu mak saudara dia. Tapi saya ni mak dia. Akak tak payahlah susah-susah nak campur masalah keluarga saya. Lagipun saya takut nanti berita ni tersebar lagi cepat dari apa yang saya jangka.” Pedas kata-kata tersebut.
Mak long Anisah terdiam. Merah padam wajahnya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut birasnya itu.
“Kau ni memang berlagak Imah. Aku ni datang nak jugak tengok menantu baru kau tu. Nak juga tahu kerjanya, mak bapak dia. Mana tahu kot-kot anak dara kau tu dah terperengkap dengan mamat Indon ke jantan yang entah apa-apa ke.” Wanita itu masih tidak mahu mengalah.
Mak Imah mengeluh perlahan. Wajah menantu barunya itu dipandang seketika. Malu juga dengan kata-kata lancang birasnya itu.
Zarul Zikuan sekadar mendiamkan diri.
“Mak long tak payah nak risaulah. Dia tu Islam. Ada mak bapak. Ada kerja tetap. Bukan mat Indon. Yang paling penting bukan suami orang.” Jawab Balqiss geram. Sempat diperlinya wanita tersebut. Hairan kenapa perangai  mak longnya itu masih tidak berubah. Masih suka menjaja cerita orang. Sedangkan anaknya sendiri sudah menjadi buah mulut orang kampung kerana merampas suami orang.
“Kau ni kan Balqiss! Masih tak berubah. Kau ni memang tak tahu malu!” jerit wanita itu geram. Wajah Balqiss yang sudah kembali duduk di sebelah suaminya itu dipandang geram.
Balqiss ingin menjawab, tetapi terus diam sebaik saja melihat Zarul Zikuan menggelengkan kepala beberapa kali.
“Sudahlah kak. Kak long tak payahlah nak tambahkan lagi serabut kepala saya ni. Kalau kak long tak datang pun, saya tak kisah. Zarul. Kamu bawaklah isteri kamu ni balik. Ingat apa yang pak cik cakap tadi. Jadilah suami yang baik. Jaga isteri kamu tu elok-elok.” Akhirnya Pak Halim bersuara. Dia pantas berlalu meninggalkan ruang tamu.
Balqiss terpinga-pinga. Tidak sangka ayahnya betul-betul sudah membuangnya. Malah lelaki itu langsung tidak memandang wajahnya. Dia mengetap bibir. Cuba menahan tangis.
“Mak! Tolong mak. Tolong pujuk ayah. Qiss tak salah mak. Tolonglah percaya cakap Qiss. Qiss betul-betul tak salah. Mak tolonglah mak. Jangan buat Qiss macam ni. Qiss sayangkan mak dengan ayah. Qiss tak nak jadi anak terbuang...” Rayu Balqiss bersungguh-sungguh. Kedua kaki Mak Imah dicium bertalu-talu.
Zarul cepat-cepat mengangkat tubuh gadis yang sudah menjadi isterinya itu. Tangan Balqiss diusap perlahan. Cuba menenangkan hati Balqiss. Tangan wanita yang masih membeku di atas kerusi itu dicapai dan dikucup hormat.
“Mak cik. Saya minta maaf banyak-banyak dengan mak cik dan keluarga mak cik. Saya janji akan jaga anak mak cik baik-baik. Saya harap mak cik dan pak cik restuilah perkahwinan kami ni. Saya harap sangat jasa baik mak cik. Sebab saya tahu, perkahwinan yang tak direstui tidak akan diredhai oleh-Nya. Sekali lagi saya minta ampun dengan mak cik sekeluarga.” Ucapnya lirih. Wajah beku ibu mertuanya itu dipandang.
Setelah pasti wanita itu tidak akan membalas kata-katanya, Zarul menarik pula tangan Balqiss dan diletakkan ditangan wanita tersebut.
Mak Imah tidak sampai hati menepis perbuatan menantunya itu. Sejuk hatinya memandang tingkah laku pemuda tersebut. Kalau bukan disebabkan peristiwa tangkap basah, pasti dialah orang yang paling gembira dengan perkahwinan anak bongsunya itu.
Balqiss mencium lembut tangan yang sudah menjaganya sejak masih merah itu. Tubuh mak Imah dipeluk erat. Kedua-dua pipi wanita itu dikucup lama. Hatinya terasa disiat-siat apabila langsung tiada tindak balas daripada emaknya itu. Biasanya Mak Imah akan membalas pelukannya dan turut mengucup kedua belah pipinya. Tapi dia tahu semua itu tidak akan terjadi.
“Qiss minta ampun banyak-banyak dengan mak. Halalkan air susu dan makan minum Qiss selama ni. Terima kasih sebab mak dah lahirkan Qiss ke dunia ni. Qiss sayang mak dengan ayah sampai akhir hayat Qiss. Qiss minta maaf mak. Mak tolong ampunkan Qiss mak... Qiss tak nak tinggalkan mak. Qiss tak puas lagi merasa kasih sayang mak dengan ayah. Qiss tak nak jadi anak derhaka mak. Qiss nak jaga mak, jaga ayah. Qiss minta ampun mak...” Balqiss sudah teresak-esak. Dia terjelepuk jatuh.
“Tolonglah mak.. Ampunkanlah Qiss.. Qiss sayangkan mak..” rayunya lagi. Suara tangisannya makin kuat. Dia sujud di kaki wanita tersebut.
Mak Imah membatu. Hanya air matanya saja mengalir tanpa henti. Terasa sejuk air mata anaknya di kakinya.
Mak long Anisah tersenyum sinis. Puas hatinya melihat kesedihan yang menyelubungi dua beranak itu.
Zarul turut sayu. Air mata lelakinya menitis memandang kelakuan gadis tersebut. Tubuh Balqiss ditarik perlahan-lahan.
“Mak.... Jangan buat Qiss macam ni. Pandanglah Qiss mak...” rayuan Balqiss tidak henti-henti sehingga tubuhnya dibawa masuk ke perut kereta. Pak Leman yang menjemput pasangan suami isteri itu turut tersentuh melihat adegan tersebut.
Dia terus bertolak ke kampung gadis tersebut sebaik saja dimaklumkan tentang peristiwa tangkap basah itu malam tadi. Ibu bapanya tidak dapat datang kerana Dato’ Muhd Zahari ada mesyuarat dengan bakal rakan kogsi mereka yang baru tiba dari Jerman.
Balqiss masih teresak-esak di dalam kereta. Air matanya begitu murah saat itu. Renungan Zarul dan pandangan Pak Leman langsung tidak dihiraukan. Dia hanya melayan rasa sedihnya. Akhirnya dia tertidur akibat keletihan terlalu banyak menangis.
Zarul sekadar menyepikan diri. Matanya langsung tidak berkalih dari memandang wajah Balqiss yang sudah dibasahi dengan air mata itu. Hatinya berdoa beberapa kali.
Ya Allah. Andainya dia jodohku, Kau kurniakanlah rasa cinta, kasih dan sayangku padanya. Tapi jika dia bukan untukku, kau kuatkanlah hatiku menghadapi dugaanMu yang bakal mendatang.














1 comment:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.