SELAMAT MEMBACA..Jangan lupa tinggalkan komen atau cadangan agar Mya boleh buatkan cerita lebih menarik okeh!datang lagi...sayang korang...(^_*)

Jom follow blog Mya.... ;)

Sunday 12 February 2012

Andai Dia Jodohku ep 15



BAB 15
 “Wei Fira! Yana! Cepat!” panggil Emmy kuat di ruang tamu.
“Apesal ni Emmy?” soal Liyana bergegas turun. Shahfira yang baru keluar dari biliknya juga menunjukkan wajah hairan.
“Tu hah!” Emmy memuncungkan mulutnya ke kaca televisyen.
Tiga pasang mata tertumpu pada apa yang terpampang di kaca televisyen itu.
“Eh! Tu bukan Balqiss ke?” soal Liyana seakan tidak percaya.
“Iyelah Yana. Aku tengok pun macam ada iras-iras Balqiss.” Tambah Shahfira pula.
“Sebab tulah aku panggil korang tengok sendiri. Sebab aku nampak muka dia sebijik macam muka si Balqiss tu.” Emmy bersuara.
“Tapi aku hairanlah. Kan diorang tu bukannya kamcing pun. Asyik gaduh je. Macam mana si Qiss tu boleh pergi temankan Zarul pulak.” Liyana melahirkan rasa hairannya.
“Aku pun macam tu jugak. Patutlah masa aku balik tadi sunyi je rumah ni. Biasanya mulut dialah yang pot pet pot pet. Aku nak call dia lah. Tanya dia kat mana.” Ujar Emmy pula.
“Hah! Bagus jugak tu. Aku pun tak sabar nak tahu ni.” Sokong Liyana pula. Mata mereka bertiga tertumpu pada skrin televisyen. Wajah gadis yang berada di sebelah Zarul Zikuan itu memang nampak sabiji macam Balqiss.
“Alah korang ni! Buat apa nak call dia. Kalau betul dia yang kat dalam tv tu, macam mana? Tak kan dia nak jawab call jugak. Macam nilah. Kita tunggu je minah tu balik. Pastu kita soal siasatlah.” Cadang Shahfira akhirnya.
Cadangan gadis itu diterima baik oleh Liyana dan Emmy. Terlalu banyak persoalan bermain di fikiran mereka bertiga.
                                      *          *          *          *          *
Liana menghempas kuat tubuhnya di sofa. Sakit hatinya apabila panggilan yang dibuat langsung tidak diendahkan oleh lelaki tersebut. Dari pagi tadi lagi jemarinya menekan butang dial pada handphonenya. Bahkan sudah berpuluh SMS dikirim. Tetapi hingga kini lelaki itu langsung tidak membalas setiap panggilan dan juga SMSnya.
Nafas dihembus kasar. Bertambah sakit hatinya apabila petang tadi dia ternampak kelibat lelaki tersebut bersama seorang gadis bertudung di shopping complex. Mungkin teman wanita terbaru, fikirnya sendirian. Makin bertambah sakit hatinya apabila sebentar tadi terpapar wajah mereka berdua di kaca televisyen. Langsung tidak diduga bahawa lelaki itu sanggup membawa gadis bertudung itu ke majlis sebegitu. Tapi baginya gadis itu langsung tidak sesuai berdampingan dengan lelaki sehebat Zarul Zikuan. Jauh berbeza dengan dirinya yang memang bijak berfesyen dan sentiasa mengikut perubahan fesyen semasa itu.
“Liana. Apesal berkerut je dahi tu? Liana ada masalah ke?” soal ibunya Puan Normah. Punggungnya dilabuhkan di sebelah anak gadisnya itu. Rambut ikal mayang Liana dibelai lembut.
“Takde apa-apalah mama. Liana begang dengan si Zarul tu. dari tadi Liana call, langsung tak layan. Tadi pula sedap-sedap je dia berkepit dengan entah perempuan mana kat majlis amal tu.” rungut gadis akhir 20-an itu geram.
Puan Normah tersenyum. Faham apa yang tersirat di hati anak gadisnya itu. Malah dia yang mengarahkan anaknya mendekati anak lelaki tunggal Dato’ Muhd Zahari itu.
“Rilekslah sayang. Liana tak boleh nak marah-marah macam ni. Nanti buatnya si Zarul tu tak hiraukan Liana langsung macam mana? Habislah plan kita nanti.” Pujuk wanita itu lembut.
“Tapi ma...”
“Takde tapi-tapi. Esok Liana pergi je kat ofis dia. Jangan biarkan dia terlepas kat tangan betina lain. Nanti Liana jugak yang susah. Ingat! Zarul Zikuan Dato’ Muhd Zahari tu lubuk emas kita.” Wanita itu berkata tegas. Dia terus bangun meninggalkan anak gadisnya itu termangu sendirian di ruang tamu.
Liana diam. Tahu benar akan kata-kata mamanya itu tidak boleh dibantah. Dia sendiri hairan kenapa wanita itu beria-ria benar menyuruhnya mendekati Zarul Zikuan. Bukan tiada lelaki lain yang lebih kaya, tapi lelaki yang menjadi CEO Lestari Holdings itulah yang menjadi pilihan mamanya.
                                      *          *          *          *          *
Balqiss canggung. Tidak pernah terlintas dihatinya selama ini untuk turut serta dalam majlis gilang-gemilang sebegitu. Malah dek kerana lelaki di sebelahnya itulah menyebabkan dia turut terasa tempiasnya. Pelbagai soalan dari wartawan yang perlu dijawab. Mujurlah Zarul Zikuan tidak pernah meninggalkannya sendirian. Kalau tidak, entah apalah yang bakal keluar dari mulutnya.
“Rilekslah Qiss. Tak payah risau. Kau kena senyum je.” Ajar Zarul Zikuan. Tahu sangat gadis itu pasti canggung berada di majlis tersebut.
“Lambat lagi ke? Aku tak selesalah. Dahlah wartawan duk sibuk tangkap gambar kita. Tak best langsung.” Rungut Balqiss memuncungkan mulut tanda protes.
Zarul Zikuan ketawa halus. Rasa lucu melihat ‘fish mouth’ Balqiss itu.
“Janganlah gelak. Aku cakap betul ni. Nanti kang aku blah macam tu je baru kau tahu.” ugut Balqiss lagi.
“Alah Qiss! Sabarlah. Kejap je lagi. Nanti kita baliklah.” Pujuk Zarul lembut. Wajah cantik Balqiss ditatap. Terasa terlalu sukar untuk mengalihkan matanya dari wajah gadis itu. Memang dia akui gadis disebelahnya itu nampak terlalu cantik malam ini.
“Dah terkeluar ke belum biji mata tu?” perli Balqiss geram. Tidak selesa dengan renungan tersebut.
Zarul ketawa lagi. Sedar salahnya.
“Okeylah. Jom kita balik!” ajak Zarul Zikuan perlahan. Sebenarnya hatinya meronta-ronta untuk berlama-lama dengan Balqiss. Entah apa yang merasuk dia pun tidak tahu.
Balqiss tersenyum. Memang itulah yang ditunggu-tunggu. Difikirannya sudah terbayang katil dan bantal busuknya di rumah. Tubuhnya juga terasa terlalu letih. Tubuh Zarul Zikuan yang sedang berbicara sesuatu dengan beberapa lelaki dipandang. Mungkin meminta diri untuk beredar, fikirnya. Tidak lama kemudian, mereka berdua beriringan keluar dari dewan tersebut.


~~~~ ANNOUNCEMENT!!!! ~~~~






kat sini Mya nak bagitau yang manuskrip untuk novel BAHAGIA YANG KUDAMBA 
dah siap and Mya dah hantar kat penerbit. manuskrip tu sekarang tengah tunggu untuk diterbitkan je. so, Mya akan hentikan post bab-bab novel tu yang seterusnya. hope korang boleh 
tunggu and terus support Mya keyh.... =)



Tuesday 7 February 2012

bahagia yang kudamba ep 25


BAB 25
“Apesal tiba-tiba nak jumpa Miey ni? Rindu ek?” usik Hakimiey. Dia mengeluarkan sapu tangan untuk mengelap peluh. Hairan apabila Farisya menghubunginya pagi tadi dan meminta untuk berjumpa. Setelah seminggu lebih gadis itu merajuk dengannya, tiba-tiba pagi tadi dia menerima panggilan. Farisya ingin bertemu dengannya.
“Takde apa. Maira nak dengar berita terbaru dari Miey. Maira tau ada something yang Maira patut tau sekarang ni kan? So, Maira nak dengar semua tu dari mulut Miey sendiri.” Farisya beriak tenang. Dia dapat menangkap kegelisahan lelaki itu. Hakimiey langsung tidak memandang matanya. Bukan seperti selalu.
“Apa yang Maira cakap ni? Miey tak faham.” Hakimiey masih cuba mengawal gugup.
“Miey. Maira nak dengar Miey yang bagitau semua tu. Maira tak nak dengar dari mulut orang lain. Miey tak payahlah buat muka takde apa-apa Miey tu. Maira tau Miey sembunyikan sesuatu kan?” desak Farisya lagi.
“Betul Maira. Takde. Miey ok. Kalau betul apa yang Maira rasa tu, Miey memang dah bagitau awal-awal lagi dah kat Maira. Dahlah fikir bukan-bukan yek. Miey tak nak kita gaduh pasal ni.” pujuk Hakimiey. Dia masih tidak berani untuk berterus-terang. Dia takut dia yang terlebih kecewa nanti.
“Tapi Miey....”
“Hai Kimiey!” sapa satu suara mematikan kata-kata Farisya. Farisya menoleh. Seorang perempuan 20-an melangkah menghampiri meja mereka. Nampak seperti anak orang berada. Dengan hanya memakai jeans sendat dan berblouse tali halus. Menampakkan bahunya yang putih melepak itu.
Farisya mengalih pandang ke arah Hakimiey. Dapat melihat riak tidak senang di wajah lelaki itu.
“Boleh I join?” soal perempuan berambut perang itu. Wajah kacukan Melayu-Inggeris itu selamba walaupun dia tahu kedatangannya tidak diundang.
“Err. Duduklah.” Pelawa Farisya.
Thanks. You ni mesti Farisya Humaira kan? I Bella. Tunang Hakimiey.” Jelas suara itu di pendengaran Farisya. Hakimiey masih membatu.
“Oo. Tak sangka Cik Bella kenal tempat ni.” balas Farisya meramahkan diri. Walaupun hatinya sakit, tapi dia berjaya mengawal perasaan.
“Tak jugak. I minta driver teksi yang hantar I kat sini. You ni jahatlah Kimiey. Sampai hati you tinggalkan I sorang-sorang kat rumah tu. You pulak happy-happy duk kat sini. Tunang jenis apalah you ni Kimiey. Maira.. Dia memang macam ni ke?” Bella bersuara manja. Tangan Hakimiey di atas meja diraih kemas. Dia melirik dan tersenyum sinis kepada Farisya.
Farisya membuang pandang. Tiba-tiba matanya bertembung dengan anak mata hitam pekat itu. Dia pantas mengalihkan pandangan. Berpura-pura tidak kisah.
“Kimiey. Jomlah bawak I pergi jalan-jalan. Tak best lah duk kat sini. Dahlah panas. Takde air cond. Jomlah Kimiey. Lagipun boleh kita beli barang-barang nak kawin nanti.” Rengek Bella lagi. Dia sengaja merapatkan tubuh kepada tunangnya itu.
“Urmm. Takpelah Miey. Maira nak balik. Ada kerja sikit. Miey bawaklah Cik Bella tu jalan-jalan. Lagipun dia bukan selalu datang sini. Ok Cik Bella. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Farisya bingkas bangun. Tidak sanggup dia melihat pasangan tersebut. Sakit hatinya dengan kebisuan Hakimiey. Ditambah lagi dengan perangai Bella yang seakan sengaja mempamerkan kemesraan mereka didepannya.
“Maira! Tunggu!” Farisya berpaling. Wajah Hakimiey yang mengah kerana berlari mengejarnya dipandang.
“Maira. Miey minta maaf. Miey tak bermaksud nak lukakan hati Maira. Miey sayangkan Maira. Tapi semua ni bukan Miey yang nak. Miey terpaksa. Miey harap Maira boleh maafkan Miey dan percayakan Miey. I love you so much.” Bisik Hakimiey. Dia mengharapkan pengertian gadis comel itu. Hanya itulah sahaja kekuatannya saat ini. Hanya gadis bernama Farisya Humaira.
“Takpelah. Nanti malam Miey call Maira. Sekarang ni Miey pergilah bawak tunang Miey tu jalan-jalan. Dah panas sangat nampaknya tu. Kan tak pasal-pasal ada yang berbogel kat dalam restoran nanti.” Balas Farisya selamba. Dia melangkah laju meninggalkan Hakimiey.
Hakimiey yang mendengar kata-kata gadis itu tersenyum. Dia tahu Farisya memang akan berkata apa yang tersirat di kepalanya tanpa berselindung. Dia mengalihkan pandangan ke arah Bella yang sedang berlenggang menuju ke arahnya.
Huh! Takkan aku nak kawen ngan minah ni kot. Dahlah pakai baju macam tak cukup kain. Tak pasal-pasal semua dosa dia aku yang kena tanggung nanti. Bisik hati kecil Hakimiey.
“Jom sayang. Temankan I jalan-jalan.” Bella bersuara manja sambil memaut lengan tunangnya itu. Dia tersenyum manja. Tapi senyuman itu langsung tidak mampu mencairkan hati lelaki Hakimiey. Baginya hanya Farisya Humaira yang mampu menundukkan hati nya.
#          #          #          #          #          #          #          #          #          #
“Hah Miey.. Baru balik ke? Pergi mana tadi?” Datin Norma keluar dari dapur sambil mengelap tangan. Wajah anak bongsunya ditatap penuh kasih.
“A’ah ma. Tadi Miey pergi jumpa kawan jap. Mama masak ape?” balas Hakimiey sambil memeluk mesra bahu wanita kesayangannya itu. Datin Norma tersenyum.
“Mama masak laksa penang. Miey nak makan sekarang ke? Mama boleh hidangkan.”
“Laksa Penang? Patutlah sedap sangat bau. Dari luar lagi perut Miey ni dah menyanyi lagu rock. Apesal tiba-tiba je mama masak laksa penang ni?” balas Hakimiey sambil tersenyum manja. Masih tidak melepaskan pautannya di bahu Datin Norma.
“Takde. Tadi mama nampak Pak Mail ambil bunga kantan kat pokok belakang rumah tu. Tu yang mama buatkan laksa penang. Tengah-tengah masak tu, teringat pulak kat si Maira. Dia kan suka makan laksa penang. tengklah hari tu, sampai 3 mangkuk tambah.” Datin Norma tersenyum mengenangkan tingkah gadis manja itu. Farisya sangat gemar makan laksa penang yang dibuat olehnya.
“Mama.. Maira macam bau kuah laksa penang je.” Ujar Farisya sebaik saja melangkah ke ruang tamu banglo tersebut. Tangan Datin Norma dicium hormat.
“Hish! Pandai je kan Maira ni. Memang mama kamu masak laksa penang pun sambil tunggu kamu datang tadi. Kalau Maira nak taulah kan, laksa penang Datin Norma memang sedap. Tak boleh nak cari kat mana-mana restoran.” Ujar Datuk Helmi sambil mengenyitkan mata ke arah Farisya. Walaupun mereka masih baru mengenali, tapi Farisya pandai mengambil hati tuanya. Beliau amat senang dengan pembawakan gadis comel itu.
“Jangan di layan sangat papa kamu tu Maira.” Datin Norma bersuara malu.
“Kalau Maira tak percaya, jom kita pergi rasa. Nanti jangan Maira tak nak berhenti makan sudahlah.” Datuk Helmi pantas berlalu ke meja makan. Ditariknya gadis itu bersama.
“Hai mama, papa. Takkan ajak Maira je kot. Yang Kimiey ni tercongok kat sini tak nak ajak ke?” Hakimiey bersuara perlahan. Sesungguhnya dia senang dengan layanan yang diberikan oleh kedua orang tuanya terhadap Farisya.
“Alamak! Papa lupalah yang Miey ada kat situ. Jomlah sekali. Itupun kalau kamu tak malu.” Datuk Helmi yang sudah siap sedia di meja makan bersuara mengusik Hakimiey.
“Sampai hati papa. Mentang-mentanglah dah ada Maira, langsung abaikan anak sendiri.” Rajuk Hakimiey lagi. Farisya yang menyaksikan adegan itu ketawa senang. Dia sendiri kagum dengan kemesraan yang terjalin dalam keluarga tersebut.
“Dahlah tu. Jom makan. Kimiey, dahlah merajuk. Malu je kat Maira. Yang abang tu pun satu. Kalau tak menyakat budak tu tak sah. Maira, makanlah. Jangan segan-segan.” Datin Norma menyendukkan kuah ke dalam mangkuk Farisya.
“Terima kasih mama.”
“Urmmm!! Sedapnya mama masak. Patutlah papa tak henti-henti puji mama. Memang sedap. Kan pa?” ujar Farisya sebaik sahaja menyuap laksa penang ke mulutnya.
“Mama!” Datin Norma tersentak. Hilang bayangan Farisya. Di depannya kini hanyalah Hakimiey.
“Apesal mama termenung ni?” soal Hakimiey. Hairan dengan perangai mamanya yang tiba-tiba termenung jauh.
“Errr takde apa-apalah. Jom. Mama hidangkan laksa penang. Papa pun dah lama balik. Nak tunggu kamu makan sama katanya.”
Hakimiey hanya memerhatikan tubuh wanita itu berlalu ke dapur. Dia tahu, pasti mamanya merindui Farisya. Kalau tidak, masakan wanita itu boleh termenung jauh setelah menyebut nama gadis tersebut.
#          #          #          #          #          #          #          #          #          #
“Hai sayang! Hai auntie! Uncle!”
“Hish kamu ni tak reti nak bagi salam ke? Takkan mama kamu tak ajar macam mana adab datang rumah orang. Apa nak jadilah dengan kamu ni Nabila.” Bebel Datin Norma. Dia memandang tajam gadis yang sudah mengambil tempat di sisi Hakimiey. Dengan selamba Nabila menarik mangkuk laksa penang di depan Hakimiey dan memakannya.
“Hei! Kau tak nampak ke aku tengah makan? Yang kau datang makan aku punya ni apesal?” marah Hakimiey. Dia memang pantang kalau orang mengambil barangnya tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu.
“Alah.. Rilekslah sayang. Lagipun I makan sikit je. Nah ambik balik you punya.” Nabila bersuara selamba.
“Hish! Apesal kau datang sini?” Hakimiey menolak mangkuk tersebut. Dia rela bangun mengambil mangkuk lain di dapur.
“Kau tak reti nak balik rumah ke?” soal Datin Norma. Sakit matanya melihat tunang anaknya itu.
“Alah auntie ni. Mama dengan atuk tak bising pun. Lagipun Bella duk kat sini bukan sorang-sorang. Tunang Bella kan ada.” Bella menjawab selamba.
Datin Norma dan Datuk Helmi berpandangan.
“Bella. Kamu tu perempuan. Lagipun Hakimiey tu baru je jadi tunang kamu. Belum lagi suami. Buat apa kamu datang sini semata-mata nak dekat dengan tunang kamu. Tunggulah bila dah kawen nanti. Kamu tak malu ke ikut si Hakimiey tu ke sana ke mari. Uncle yang tengok ni pun dah naik berbulu mata. Berilah si Kimiey tu peluang nak fikirkan pasal hubungan korang. Bagi dia masa. Uncle tengok kamu macam mendesak sangat.” Datuk Helmi bersuara perlahan. Wajah anak saudara isterinya itu dipandang sekilas.
“Bella tau.. Uncle ngan auntie bukannya suka sangat kan Bella tunang dengan Kimiey. Sebab tu uncle suruh Bella jauhkan diri dari Kimiey kan?” Nabila memandang tepat lelaki 40-an itu.
“Bukan sebab suka ke tak suka Nabila. Tapi uncle nak kamu tau jaga maruah kamu. Kimiey tu anak uncle. Uncle tau apa yang dia nak, dia suka ke tak suka.”
“Alah. Bukan Bella tak tau. Uncle ngan auntie lebih suka kan kalau Kimiey dengan budak kampung tu.”
“Hei! Siapa maksud kau ni?” Datin Norma sudah dapat mengagak. Pasti Farisya yang dimaksudkan oleh gadis di depannya itu.
“Saper lagi kalau bukan si budak kampung yang selekeh tu. Maira. Dahlah miskin. Ada hati nak rampas tunang Bella.” Nabila bersuara sombong. Langsung tidak perasan wajah Datin Norma yang sudah memerah menahan amarah. Dia memang tidak boleh jika gadis itu dikutuk sebegitu rupa.
“Heh! Kau jaga sikit mulut kau tu. Jangan kau senang-senang nak kutuk Maira. Lagipun aku rasa dia jauh lebih segala-galanya dari kau tu. Tengok jelah. Pakai baju entah apa-apa. Mama kau tak bagi duit lebih ke untuk kau beli pakaian yang elok-elok sikit? Aku rasa duit Datuk Malik tu dah banyak mama kau ambik. Tapi tak tau kat mana dia bazirkan duit tu sampaikan tak mampu nak belikan anak dia baju yang elok-elok. Hish! Apelah nasib aku papa suruh tunangkan si Kimiey tu dengan kau.” Luah Datin Norma panjang lebar.
“Eh. Awak nak ke mana pulak tu?” soal Datuk Helmi apabila melihat Datin Norma sudah bangun ingin berlalu.
“Pergilah duduk kat mana-mana pun. Sakit mata saya ni tengok anak si Rose tu. Huh!” pantas wanita itu berlalu meninggalkan meja makan.
Datuk Helmi mengelengkan kepala beberapa kali. Dia mengalihkan pandangan kepada tunang anaknya yang kelihatan masih selamba. Takde perasaan ke budak ni. Bisik hatinya. Dia turut bangun meninggal meja tersebut mencari isterinya.

bahagia yang kudamba ep 24


BAB 24
Farisya dan rakan-rakannya bertungkus-lumus berlatih sempena kejohanan Bola Baling yang akan berlangsung esok. Dia langsung tidak menghiraukan Hakimiey selepas peristiwa seminggu lepas. Bukan lelaki itu tidak datang memujuknya, tetapi dia malas. Sakit hatinya dengan perangai Hakimiey. Sudahlah selama berada di Johor Bahru, lelaki itu seakan sengaja menyepikan diri. Pulang sahaja, sudah marah-marah.
Hampir setiap hari Hakimiey akan datang menunggunya. Tetapi dia sengaja tidak melayan. Malah dia juga sengaja menutup telefon bimbitnya semata-mata tidak mahu diganggu oleh Hakimiey. Dia dapat merasakan perubahan pada wajah lelaki itu tetapi tidak sempat ditanya. Hakimiey seakan-akan cuba mengelak daripada menjawab soalannya.
Mujurlah dia dapat menyibukkan diri dengan menjalani latihan setiap petang. Tidaklah dia memikirkan sangat dengan kemelut yang melanda hubungan mereka. Walaupun umurnya masih muda, tetapi Farisya yakin yang cintanya dengan Hakimiey bukan sekadar cinta monyet. Baginya dia sudah matang dan mampu mempertahankan hubungan mereka sampai bila-bila.
Pap! Sebiji bola mengenai kepala Farisya.
“Adoi!” dia memegang kepalanya yang terkena bola itu. Mujur dia dapat mengimbangi tubuhnya daripada terjatuh.
“Hei Risya! Yang awak berdiri macam tiang lampu tak menyala tu apesal? Tak nampak ke orang lain tengah berlatih tu. Dah! Cepat!” laung jurulatih, Cikgu Fazlan.
Farisya masih menggosok kepalanya. Kepalanya ligat memikirkan tentang perubahan Hakimiey. Sampaikan dia langsung tidak sedar bahawa dia sedang berada di padang ketika itu. Dia cuba memberikan tumpuan pada latihannya petang itu. Tidak mahu masalah yang melanda mengganggu tumpuannya pada latihan dan juga kejohanan yang berlangsung esok.
“Risya. Awak ada masalah ke?” soal Cikgu Bayati. Dia merupakan pengurus kepada pasukan bola baling sekolah itu. Pelik dia melihat tingkah Farisya yang kelihatan agak pendiam dan kurang memberi tumpuan pada latihan. Jika sebelum ini, gadis itulah yang sering menceriakan pemain-pemain lain.
“Takde apalah cikgu. Panas kot. Rasa macam tak selesa je.” Farisya cuba memberikan alasan.
“Sebelum ni pun awak selalu juga berlatih bawah terik mentari tu, tapi tak pernah pulak saya tengok awak macam hari ni. Awak tak boleh terus macam ni Risya. Awak tu harapan sekolah untuk kekalkan kejuaraan. Jangan hampakan harapan kami semua.” Nasihat guru muda itu sambil bangun menuju ke arah tengah padang. Bahu gadis itu ditepuk perlahan sebelum berlalu.
Farisya kelu. Dia buntu. Kalau boleh dia tidak mahu terus begitu. Perlahan-lahan dia bangun dan meminta izin daripada Cikgu Fazlan untuk pulang. Hendak berehat katanya. Mujurlah guru lelaki itu faham dan tidak banyak soal.
#          #          #          #          #          #          #          #          #          #
Kejohanan Bola Baling antara sekolah di bandar ini berlangsung dengan meriah sekali. Semua pasukan yang mengambil bahagian berkerja keras untuk memenangi setiap perlawanan. Farisya dan rakan-rakannya telah berjaya memasuki pusingan separuh akhir. Semasa kejohanan itu dihentikan pada tengahari untuk makan dan juga berehat, Farisya dikejutkan dengan satu panggilan.
“Hello. Farisya Humaira please?” ujar suara gemersik di hujung talian.
“Ye saya. Siapa ni?”
“Oh. Saya Nabila. Tunang Hakimiey.” Jelas suara itu.
“Tu..nang?” Farisya tersentak. Seakan tidak percaya apa yang didengarnya itu.
“Yup! I tau. Pasti Kimiey tak bagitau kat you kan? Actually Farisya Humaira..”
“Panggil Risya je.” Pintas Farisya.
“Ok. Actually Risya, kitorang dah bertunang. 2 minggu lepas.”
“Hah? Jadi, korang tunang masa dia pergi JB tu ke?” soal Farisya ingin tahu.
Yes! Atuk kitorang yang mintak kitorang bertunang. And Hakimiey pun nampak happy je masa tu. Sebab tu I ikut je cadangan atuk. Tak sangka pulak I yang Hakimiey dah ada girlfriend budak sekolah kampung macam you.” Nabila bersuara sombong.
Dia yang baru tiba di Kuala Terengganu pagi semalam kecewa dengan layanan Hakimiey terhadapnya. Hakimiey langsung tidak mengendahkan kehadirannya di banglo tersebut. Malah lelaki itu sengaja bermalam di luar. Dia juga baru tahu tentang kewujudan gadis bernama Farisya Humaira dalam hidup tunangannya itu apabila Mak Leha terlepas cakap. Terus dia memaksa wanita tua itu menerangkan siapa gadis itu pada Hakimiey. Kerana itulah dia sengaja menghubungi Farisya dan bercadang mendedahkan hubungannya dengan Hakimiey.
“Ooh.. Sorry. Saya tak tau. Congratulations.” Farisya bersuara tenang. Dia tetap berusaha mengawal nada suaranya agar tidak dihidu oleh gadis yang mengaku tunangan Hakimiey itu.
Thanks.. So, I harap lepas ni you all dah tak jumpa and you jangan kacau dia lagi. I tak nak hubungan kitorang diganggu oleh budak kampung macam you.” Farisya menelan liur. Angkuh sekali suara tersebut.
“Ok Cik Nabila. Lagipun memang selama ni saya tak pernah pun kacau ‘tunang’ Cik Nabila tu. Saya pun bukannya suka sangat rampas hak orang. Tak macam sesetengah orang tu. Tak kira. Asalkan berduit, semua nak dikebas. Tak gitu Cik Nabila?” perli Farisya.
“I tak kisah you nak cakap apa pun. Yang I tau, I tak nak you ada apa-apa hubungan lagi dengan Hakimiey. I pun tak suka tunang I bergaul dengan orang kampung macam you ni.. I harap you faham kedudukan you dengan Hakimiey sekarang. I yang lebih berhak and I rasa atuk memang dah buar keputusan yang tepat. Kitorang setaraf dan memang sesuai. Ok lah Farisya. I got to go. Bye.” Talian diputuskan. Farisya mengeluh berat. Die marenung lama skrin handphonenya. Patutlah perangai lelaki itu berubah.


bahagia yang kudamba ep 23


BAB 23
“Sya. Apesal dah beberapa hari aku tak nampak buah hati kau tu datang? Korang gaduh ke?” Aisyah menyoal. Hairan. Selalunya setiap kali tamat waktu persekolahan, pasti muncul wajah lelaki tinggi lampai itu untuk bertemu dengan Farisya.
“Hish kau ni. Takdelah. Dia ada kat JB. Atuk dia sakit.” Farisya mengambil tempat di sebelah Aini. Mereka berempat mahu mengadakan perbincangan kumpulan sebentar lagi. Sebelum itu, perut yang berkeroncong perlu diisi terlebih dahulu.
“Oo.. Aku ingatkan korang gaduh lagi. Eh Sya, kau tau tak yang seminggu lagi ade kejohanan Bola Baling kat sekolah ni?” Aini yang sedari tadi begitu asyik berbalas SMS dengan buah hatinya menambah.
“Iye ke? Tak taulah pulak aku. Takpelah. Nanti kalau betul-betul jadi, mesti Cikgu Fazlan bagitau kat aku. Kau nak join ke?” Farisya bukan sahaja seorang pelajar pintar tetapi dia juga hebat dalam bidang sukan. Hampir semua jenis sukan diceburinya. kerana itulah namanya sering sahaja meniti di bibir mana-mana pelajar. Bukan sahaja di sekolahnya tetapi di sekolah yang berhampiran.
“Tak tau lagilah. Kau mesti join kan? Nantilah aku bagitau balik.” Balas Aini.
Mereka berbual kosong sambil menanti hidangan yang dipesan. Riuh suasana di dalam restoran tersebut dengan gelak tawa mereka. Begitulah selalu jika mereka sudah berkumpul. Pasti tak berhenti mulut-mulut itu berceloteh.
“Maira....” Farisya terkejut bila namanya disebut. Panjang umur lelaki itu. Baru sebentar tadi namanya disebut, kini tubuh itu sudah berdiri tegak didepan mereka berempat.
“Eh Miey! Bila Miey sampai?” Farisya menyorong sebuah kerusi kepada Hakimiey. Wajah itu dipandang lama. Terasa ada sesuatu yang tidak kena dengan wajah lelaki di sebelahnya itu. Tiada lagi sinar kegembiraan yang selalu dilihat di mata hitam pekat itu.
“Miey tak sihat ke?” soalnya lagi setelah soalannya tadi dibiarkan sepi. Hakimiey masih lagi merenungnya.
“Miey!”
“Eh mak kau Miey!!” latah Hakimiey. Terkejut bila tangan kecil itu menepuk lembut pehanya.
“Hah! Tulah. Berangan lagi. Orang tanya tak jawab. Ni mesti kes ingat kat orang Johor ni kan.” Usik Farisya. Rakan-rakannya yang lain sudah berlalu masuk ke kelas. Kini hanya tinggal mereka berdua sahaja di meja tersebut.
Berubah wajah Hakimiey mendengar soalan dari mulut comel itu. “Hish! Apa yang Maira mengarut ni. Miey saja je nak tengok Maira. Rasa macam dah lama tak jumpa kan. Rindulah. Nampak Maira makin tembam.” Usik Hakimiey. Kata-katanya itu lebih kepada untuk menyedapkan hatinya sendiri. Tapi dia sendiri tahu usikannya itu agak hambar.
“Alaaa... Maira gurau jelah. Takkan tu pun nak marah.”
“Takdelah. Maira dah habis exam ke?” tangan gadis itu diramas lembut. Bergetar dadanya memandang anak mata coklat itu. Rasa bersalah menujah-nujah ruang hatinya.
“Dah. Esok Maira ingat malas nak datang sekolah. Mujur gak Miey datang hari ni, kalau datang esok alamak tak dapat jumpalah.” Gadis itu tersenyum manja.
“Hish! Apesal Maira ni malas sangat hah? Cuba kalau Miey datang esok, macam mana?” Hakimiey mencubit geram pipi tembam itu.
“Ouchh! Sakitlah Miey. Padan muka Miey tu. Dah berapa hari Maira call Miey tak angkat. Sibuk sangat ke? Tapi bila Maira call Abang Akim ngan Izan, boleh je diorang jawab.” Hakimiey terdiam. Tidak sangka gadis itu akan menyuarakan tentang perkara tersebut.
“Miey lupalah nak call Maira balik. Sorry.”
“Hah! Lupa? Apesal? Dah sibuk sangat layan awek, tunang kat sana? Sampai boleh lupa nak call Maira balik? Miey ingat Maira ni tunggul ke? Tiap-tiap malam Maira tunggu Miey call, tau tak?” tinggi sedikit nada suara itu.
Hakimiey tersentak. Perit tekaknya mendengar kata-kata Farisya. Dia hanya mendiamkan diri. Tidak mahu merumitkan keadaan. Amat jarang untuk melihat Farisya Humaira meninggikan suara dengannya. Terasa makin kusut fikirannya ketika itu. Tujuannya berjuma Farisya kerana ingin menghilangkan tekanan yang ada dalam dirinya, tetapi tidak sangka layanannya terhadap gadis itu selama 4hari ini menimbulkan kemarahan.
“Apesal diam?? Miey memang dah ada orang lain kat sana kan??” tekan Farisya lagi.
“Takdelah Maira.” Dia bersuara perlahan.
“Takde? Habis tu apa yang disibukkan tu? Miey ingat Maira ni budak-budak, senanglah nak bodohkan Maira? Entah-entah dah nak kawin kot.” Teka gadis itu lagi. Hakimiey pantas mengangkat wajah. Raut tegang Farisya dipandang lama.
“Maira boleh diam tak?? Yang Maira nak melalut tak tentu pasal ni apesal?? Miey datang nak jumpa Maira. Bukan nak dengar Maira memekak macam ni.” balas Hakimiey tegang. Wajahnya merah menahan geram. Dia sebenarnya takut. Takut tersilap mengiyakan apa yang diteka oleh gadis genit itu.
Farisya tersentak. Selama ini Hakimiey tidak pernah bersuara begitu dengannya. Boleh dikatakan, sebelum ini lelaki itu tidak pernah memarahinya malah jika dia melakukan kesilapan, Hakimiey dengan lembut menegur dan menasihatinya. Air matanya menitis. Dia memang tidak boleh dimarahi sebegitu.
Hakimiey yang melihat perubahan pada gadis itu terkedu. Dia tahu dia sudah terlanjur meninggikan suara. Dia meraup wajah beberapa kali. Mata yang sudah dipenuhi air mata itu ditenung lama. Dapat dilihat riak terkejut pada wajah putih mulus itu.
“Maira... Sorry. Miey tak sengaja. Bukan Miey nak marah Maira. Tapi Miey tak suka Maira cakap macam tu. Miey sayangkan Maira. Takde siapa yang dapat ganti tempat Maira kat hati Miey. Miey minta maaf sangat.” Pujuk Hakimiey. Tangan gadis itu diraih dan diramas lembut.
“Dahlah nagis tu. Dah tak comel dah.” Pujuknya lagi.
Sekali lagi dia terkedu apabila Farisya menolak tangannya dan bangun melangkah meninggalkannya  tanpa bersuara sepatah pun. Dia tahu gadis itu terasa hati dengannya.
Ahh! Biarlah dulu. Nanti ok lah tu. Desis hati Hakimiey. Dia menghidupkan enjin kereta dan memecut meninggalkan sekolah lamanya itu.

Saturday 4 February 2012

Andai Dia Jodohku ep14



BAB 14
 “Ibu! Abah!” pekik Nur Zahira Zahra di ruang tamu.
“Ada apa ni Zahra? Apesal terpekik-pekik macam orang sasau ni?” soal Datin Azizah yang bergegas keluar dari bilik sebaik sahaja mendengar pekikan dari anak gadisnya itu.
Zahira Zahra tersenyum simpul. Sedar akan kesilapannya.
Sorry bu, abah!” pintanya manja.
Dato’ Muhd Zahari mengangguk. Kepala anak gadisnya itu diusap perlahan lantas dilabuhkan punggung di sebelah gadis tersebut. Zahira pantas melentokkan kepala di bahu abahnya. Memang begitulah setiap kali mereka meluangkan masa bersama.
“Ada apa ni? Tak elok tahu anak dara terpekik macam tu.” tegur Dato’ Muhd Zahari pula.
“Takde abah, ibu. Zahra nak suruh abah dengan ibu tengok tu je.” Mulut gadis belasan tahun itu memuncung ke arah peti televisyen. Terpampang wajah Zarul Zikuan dan seorang gadis. Tapi wajah gadis tersebut tidak dapat dilihat dengan jelas kerana membelakangi kamera.
Datin Azizah diam.
“Siapa perempuan tu Zahra?” soal wanita tersebut. Rasa ingin tahu begitu membuak-buak dihatinya.
“Entahlah bu. Zahra rasa macam Zahra pernah tengoklah muka dia. Tapi Zahra tak tahu kat mana.” Balas gadis itu lagi.
“Abang! Yang awak diam tu apesal? Awak kenal ke siapa budak tu?” soal Datin Azizah lagi. Hairan melihat lelaki itu seakan sedang berkhayal.
“Tak! Takde! Saya hairan je. Sejak bila anak teruna awak tu dah tukar taste. Cuba awak tengok. Perempuan tu bertudung. Sebelum ni mana pernah dia pandang perempuan bertudung. Last sekali masa...” kata-kata tersebut tergantung. Tidak mampu diucapkan.
Datin Azizah yang faham maksud suaminya turut terdiam.
“Maksud abah, Kak Akma?” gadis kecil itu bersuara. Wajah kedua ibu bapanya dipandang silih berganti.
“Hah! Baru Zahra ingat. Ibu, abah. Muka perempuan sebelah abang tu macam muka Kak Akma!” Zahira Zahra menjerit kuat.
Tersentak pasangan suami isteri itu mendengar kata-kata tersebut.
“Merepeklah Zahra ni.” Datin Azizah menyangkal.
“Betul bu. Muka dia macam Kak Akma. Kalau ibu tak caya, ibu tunggulah. Tengok nanti.” Gadis itu masih tidak mahu mengalah.
Mereka bertiga menumpukan perhatian di kaca televisyen yang sedang memaparkan lintas langsung tentang masjlis amal yang dihadiri oleh Zarul Zikuan.
“Alah bu. Dah habislah. Tak dapat ibu nak tengok muka akak tu.” terselit nada kecewa pada kata-kata tersebut. Dia kecewa kerana pasti ibunya tidak percaya akan kata-katanya sebentar tadi.
“Takpelah. Zahra tak payah buat muka macam tu. Nanti bila abang balik, ibu tanya abang. Okey?” pujuk Datin Azizah lembut. Kepala anak gadisnya diusap penuh kasih. Hanya Zarul dah Zahra sahaja zuriatnya.
Zahra mengangguk perlahan.
“Tapi bu, akak tu memang cantik. Cantik sangat. Nanti Zahra pun nak pakai tudung jugaklah bu.” Zahra bersuara manja.
“Apesal anak abah tiba-tiba je nak pakai tudung ni?”
“Sebab Zahra tengok akak tu cantik pakai tudung. Kak Akma dulu pun cantik jugak. Pakai tudung. Nanti kalau Zahra pakai tudung, mesti lagi cantik kan abah?” Ujar Zahira Zahra lagi.
Datin Azizah diam. Setiap kali nama itu disebut, hatinya disayat hiba. Terasa rindu benar pada gadis itu. Dahulu Nur Akmalah menjadi tempatnya mencurahkan kasih sayang. Gadis itu sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
“Iyelah. Anak abah kan dah memang cantik. Pakai apa pun tetap cantik. Tapi Zahra kena ingat. Kita kalau nak buat sesuatu, niat tu kenalah betul. Jangan nak pakai tudung sebab nak nampak cantik. Tapi yang betulnya pakai tudung sebab nak tutup aurat. Cantik ke tak cantik tu lain hal. Lagi satu, jangan sebut pasal Kak Akma depan abang. Kesian abang.” Dato’ Muhd Zahari mengingatkan Zahra. Bimbang jika anak gadisnya itu menimbulkan tentang Nur Akma di depan Zarul Zikuan.
         Zahra mengangguk faham. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, tapi dia masih ingat bagaimana keadaan abangnya setelah menerima berita tentang kematian arwah Nur Akma. Lelaki itu mengambil masa yang agak lama untuk kembali seperti sedia kala. Dia sendiri turut terasa akan kehilangan gadis tersebut kerana dulu boleh dikatakan hampir saban hari Nur Akma akan dibawa kerumah mereka dan


Andai Dia Jodohku ep13


BAB 13
 “Mila. Jangan mekap tebal-tebal sangat yek. Aku tak biasalah.” Pinta Balqiss lembut.
Mila tersenyum mesra. Senang dengan tingkah gadis di depannya itu. Tapi dia sendiri hairan bagaimana gadis seperti Balqiss boleh terjebak dengan bosnya yang kaki perempuan. Ingin ditanya, tapi takut dikatakan busybody pula. Akhirnya dia hanya mengambil sikap berdiam diri.
“Qiss. Cantiklah kulit kau. Senang nak mekap. Lembut pulak tu.” puji Mila ikhlas.
“Kau jangan nak memandailah Mila.” Balqiss tersenyum. Dibiarkan saja Mila mewarnakan wajahnya.
“Hah Qiss! Dah siap!” Mila tersenyum bangga. Teruja melihat hasil kerjanya di wajah gadis tersebut. Tetapi apa yang penting, memang sudah diakuinya bahawa Balqiss memang memiliki raut wajah yang sudah sedia cantik.
Balqiss membuka mata perlahan. Seakan tidak percaya melihat dirinya sendiri di dalam cermin.
“Dahlah tu! Memang cantik. Kau pakailah tudung ni dulu. Aku nak keluar. Nak ambik air.” Mila berlalu meninggalkannya sendirian di dalam bilik. Tudung dicapai dan disarung dengan berhati-hati. Setelah dipastikan semuanya kemas barulah disemburkan sedikit wangian yang dibawa oleh Mila sebentar tadi.
“Wah! Cantiknya kau Qiss. Kalau macam nilah, gerenti bos takkan cari lain punya.” Tegur Mila yang baru muncul di muka pintu.
Balqiss memuncung sebaik mendengar kata-kata tersebut.
“Hish kau ni Mila! Merepek je lebih. Lagipun aku dengan bos kau tu bukan ada apa-apa pun.”
“Dah tu? Aku hairanlah. Macam mana kau boleh terjebak dengan bos aku tu.” akhirnya Mila meluahkan rasa ingin tahunya.
“Takde maknanya aku nak terjebak dengan mamat sengal tu. Aku hairanlah macam mana dia tu boleh ramai girlfriend. Entah minah-minah tu tengok kat mana aku pun hairan.” Balas Balqiss kuat.
“Eh Qiss! Kalau iye pun janganlah kuat-kuat sangat. Dengar dek bos tu nanti kecik hati dia.” Tegur Mila lembut.
“Aku peduli apa!” Balas Balqiss tanpa riak bersalah.
Mila mengeluh lemah. Dalam hatinya berdoa agar gadis didepannya itulah jodoh bosnya nanti. Barulah bertemu buku dengan ruas. Fikirnya.
“Yang kau termenung kat depan pintu ni apesal? Dah teringin sangat nak ambil alih jadi guard?” Balqiss mengusik gadis yang nampak muda beberapa tahun darinya.
 Mila tersentak. Laju tangannya memulas tombol.
“Bos! Tengok ni. Amacam? Cantik tak?” soalnya Mila teruja.
Zarul Zikuan yang sedang membetulkan tali lehernya tersentak. Terus dia berpaling.
Balqiss menguntum senyum.
Zarul Zikuan kaku. Terasa lemah sendinya melihat penampilan Balqiss tika itu. Ditambah lagi dengan senyuman manis yang terserlah dibibirnya. Persis sekali dengan arwah Nur Akma.
“Ehem!” Mila berdehem kuat.
“Bos! Kalau iye pun, janganlah sampai ternganga mulut tu pandang anak dara orang.” Ucap Mila sinis.
Balqiss sudah memuncung. Geram apabila melihat tingkah lelaki itu sebentar tadi. Ditambah lagi dengan rasa malu apabila ditegur sebegitu oleh Mila.
Zarul berdehem beberapa kali. Tali lehernya dibetulkan.
“Jomlah Qiss! Kita dah lewat ni.” Ajak Zarul. Ingin mematikan usikan Mila. Bukan dia tidak faham dengan senyuman setiausahanya itu sebentar tadi. Sudah tahu benar makna senyuman itu. Mila sengaja ingin mengenakannya.
Balqiss menurut. Mereka berdua berlalu meninggalkan Mila tersenyum sendiri di ruang tamu. Memang Mila sendiri sudah biasa benar berada di kondominium mewah milik majikannya itu.
                                                *          *          *          *          *
“Qiss. Senyumlah sikit. Janganlah tunjuk sangat kau marahkan aku.” Tegur Zarul Zikuan apabila melihat Balqiss masih memuncung. Sepanjang perjalanan gadis itu menarik muka.
“Aku peduli apa.” Balqiss bersuara dingin.
“Qiss. Kau memang nak malukan aku ke? Nanti apa cakap orang bila tengok kau macam tu. Senyumlah sikit. Kesian si Mila tu. Punyalah beria dia mekapkan kau, kau tayang pulak muncung empat belas kau kat sini. Membazir je tahu tak.” Lelaki itu sengaja mengusik.
Balqiss terkesima. Ingatkan lelaki itu akan berlembut dengannya. Tapi dia silap. Ada saja modal Zarul untuk mengenakannya. Bibirnya diketap geram.
Zarul ketawa kuat. “Dahlah tu Qiss. Tak payahlah tayang muka macam tu. Senyum sikit. Jom!” pujuk Zarul lembut. Dia sendiri hairan macam mana terlintas dihatinya untuk mengajak gadis disebelahnya malam ini. Bukan tiada orang lain. Malah teman-teman wanitanya ramai yang akan menawarkan diri untuk menemaninya. Tapi dia lebih sanggup memilih Balqiss.
Balqiss mengalah. Malas mahu melayan karenah lelaki tersebut.
Pasangan itu berjalan beriringan menuju ke dewan besar. Semua mata tertumpu kepada mereka berdua sebaik saja melangkah diatas karpet merah yang disediakan. Simbahan lampu-lampu yang bergemerlapan menyerlahkan lagi kecantikan Balqiss yang tidak lekang menguntum senyum. Lelaki di sebelahnya juga tidak kurang hebat berkemeja dan berkot warna sama dengan dress yang dipakai oleh Balqiss. Senyuman dan lirikan mata lelaki itu mampu menggetarkan hati sesiapa yang memandang.