
BAB 25
Zarul Zikuan melangkah tergesa-gesa. Hari ini dia
terpaksa ke Pulau Perhentian kerana akan menyambut ulang tahun kelahiran salah
seorang daripada temannya ketika belajar di luar negara beberapa tahun yang
lepas. Rasa tidak enak pula jika tidak hadir. Kerja di pejabat yang menimbun terpaksa
ditinggalkan. Wajah Mak Som yang sedang menunggunya di anak tangga paling bawah
dipandang.
“Hah Wan! Dah siap packing ke? Takde yang tertinggal?” soal Mak Som. Pembantu rumah
yang sudah sekian lama berkhidmat dengan mereka sekeluarga.
Zarul mengangguk perlahan. Dihadiahkan senyuman
manis kepada wanita tersebut. Beg bajunya diletakkan di atas sofa di ruang
tamu.
“Dah mak. Lagipun Wan pergi sana tak lama. Esok Wan
baliklah.” Balasnya.
“Kalau macam tu takpelah. Marilah makan dulu. Mak
ada buatkan Nasi Lemak pagi tadi. Dengan sambal kerang.” Ujar wanita yang
dipanggil emak itu. Wanita itulah yang bertanggungjawab membesarkannya selama
ini.
Zarul Zikuan sekadar menurut. Memang perutnya juga
sudah berasa lapar. Aroma Nasi Lemak yang masih berasap di atas meja membuka
seleranya.
“Mak. Ibu dengan abah tak turun lagi ke?” soalnya
sebelum membaca doa makan.
“Ibu Wan dah turun tadi. Naik balik ke bilik.
Mungkin tolong abah bersiap kot. Takpelah. Wan makanlah dulu. Nanti turunlah
mereka berdua tu.” jawab Mak Som lembut.
Mak Som
tersenyum. Kembang hatinya melihat pemuda yang sudah dianggap seperti anaknya
sendiri begitu berselera menjamah Nasi Lemak yang disediakan. Sampai bertambah
tiga kali.
“Cukuplah
mak. Wan dah tak larat ni. Kenyang sangat dah.” Ujar Zarul Zikuan sambil
menolak pinggannya ke tepi. Gelas yang berisi air kosong dicapai dan diteguk
hingga habis. Memang sudah menjadi kebiasaannya kurang berminat dengan minuman
manis.
“Hai Wan!
Cepatnya habis makan. Bukan ke mak buat sambal kerang kesukaan Wan ke?” tegur
Datin Azizah yang baru mengambil tempat di meja makan. Dato’ Muhd Zahari juga
mengambil tempat di hujung meja. Tersenyum memandang wajah anak lelakinya itu.
“Memanglah bu. Wan dah tak larat dah. Dah tiga kali
tambah dah bu.” Balas Zarul Zikuan lembut. Perutnya digosok beberapa kali.
“Bila flight
Wan ke Terengganu?”soal Dato’ Muhd Zahari.
“Pukul 10 setengah abah.”
“Dah tu apesal tak pergi lagi? Nanti Pak Leman nak
hantar abah pulak ke office.” Ujar
lelaki itu lagi.
Zarul tersengih. Lupa pula yang pemandu yang akan
menghantarnya ke airport terpaksa
pulang semua ke rumah untuk mengambil abahnya.
“Oklah. Wan pergi dulu.” Zarul Zikuan meminta diri.
Tangan ketiga-tiga insan yang begitu bermakna dalam hidupnya disalam dan
dikucup hormat.
“Jaga diri baik-baik. Sampai nanti call ibu.” Pesan Datin Azizah.
Zarul Zikuan mengangguk. “Pergi dulu abah, ibu, mak.
Assalamualaikum.”
Zarul Zikuan berlalu. Kereta yang dipandu oleh Pak
Leman terus bergerak meninggalkan laman rumah banglo tersebut.
* * * * *
Balqiss tersenyum gembira sebaik saja kakinya
mencecah bumi Pulau Perhentian. Hampir tiga jam dia terpaksa menunggu bot di
jeti Kuala Besut. Khabarnya bot yang sepatutnya membawanya ke pulau tersebut
rosak. Mujurlah ada pemilik bot yang sudi menghantarnya ke pulau yang menjadi
kebanggaan penduduk Besut itu.
Kakinya diatur menuju ke kaunter chalet. Ingin
merehatkan badan dan menunaikan kewajipan sebagai umat Islam. Akhirnya dia
memilih sebuah chalet yang berhadapan dengan laut. Tingkap bilik dibuka. Angin
laut menerobos masuk ke dalam biliknya. Selendang yang melilit dikepala dibuka
dan digantung pada rak yang telah disediakan. Tubuhnya yang melekit perlu
dibersihkan. Dia segera berlalu ke bilik air.
Selesai saja solat dan berdoa memanjatkan kesyukuran
kerana dikurniakan rezeki yang membolehkannya berada di tempat seindah Pulau
Perhentian itu, Balqiss terus bersiap-siap untuk keluar mengambil angin di tepi
pantai. Baru dia perasan, tempat penginapannya berdekatan dengan beberapa rumah
penduduk kampung.
Sempat dia berbual-bual dengan beberapa wanita yang
sedang duduk mengambil angin petang di tepi pantai. Balqiss senang dengan
kemesraan penduduk di situ. Mujurlah dia juga anak kelahiran Dungun,
Terengganu. Sedikit sebanyak dia dapat memahami loghat percakapan penduduk pulau
tersebut yang lebih kepada loghat negeri Kelantan.
Dapat dilihat agak ramai pelancong yang datang
bercuti ke pulau peranginan itu. Masing-masing nampak begitu teruja untuk mandi
air laut dan melakukan aktiviti-aktiviti pantai yang telah disediakan oleh pihak
chalet. Ada segelintir pelancong yang lebih selesa untuk berbogel ketika
berjemur di tepi pantai. Balqiss sendiri berasa malu melihat keadaan-keadaan
tersebut. Tetapi menurut penduduk di sini, mereka sudah biasa dengan keadaan
sedemikian. Malah ada segelintir remaja Islam juga turut berkeadaan sedemikian apabila
berada di pulau tersebut.
* * * * *
Zarul Zikuan termenung panjang. Deruan ombak dan
hembusan angin laut tidak mampu meredakan kegusaran hatinya. Hatinya berasa
tidak enak sebaik saja tiba di pulau tersebut. Dia sendiri tidak mampu mencari
jawapan kenapa dia berkeadaan demikian. Ajakan teman-temannya untuk mandi laut
langsung tidak diendahkan. Dia lebih memilih bersendirian di bilik.
Malah sebentar tadi pun dia terkejut apabila
terserempak dengan Nurin di pulau itu. Wanita itu juga merupakan kenalan Farid,
lelaki yang akan diraikan malam nanti. Bukan itu saja, dia turut dikejutkan
dengan berita bahawa Farid merupakan sepupu kepada Malik, saingan
perniagaannya. Bukan dia tidak tahu, lelaki bernama Malik itu merupakan seorang
yang sentiasa cuba bersaing dengannya dalam mendapatkan tender-tender
perniagaan.
Malah Malik sanggup melakukan apa saja demi mencapai
apa yang diinginkannya. Bukan dia tidak tahu, Malik sering menggunakan cara
kotor semasa berurus niaga. Kerana itulah hubungannya dengan Malik tidak mesra.
Dia tidak suka berurusan dengan individu sebegitu.

No comments:
Post a Comment