
BAB 26
Zarul Zikuan melangkah perlahan. Dari jauh dia sudah
mendengar bunyi muzik yang agak kuat. Pasti datang dari majlis Farid, fikirnya.
Dia yang hanya berpakaian ringkas sudah berkira-kira untuk pulang lebih awal
nanti. Kegusaran hatinya sejak petang tadi masih belum hilang. Agak ramai
tetamu yang dijemput oleh Farid. Mereka kelihatan seronok menari dan menjamu
hidangan yang telah disediakan. Tiba-tiba Zarul terasa bahunya disentuh lembut.
“Hai Zarul! You
baru sampai ke?” tegur wanita itu sambil tersenyum menggoda.
Zarul sekadar mengangguk. Matanya melirik seketika
memandang tubuh wanita tersebut. Pantas dia beristighafar. Wanita itu hanya
memakai dress ketat paras peha tanpa
lengan dan agak jarang. Jika dia berdiri di bawah lampu, pasti boleh nampak dengan
jelas setiap lekuk tubuhnya. Bahkan Nurin seakan sengaja merapatkan tubuhnya.
Tetapi dia tidak mengendahkan perlakuan wanita itu..
“You...
Jom temankan I menari.” Rengek Nurin sambil memeluk mesra lengan sasa Zarul.
Lelaki itu ditarik menuju ke ruang tari.
“Err. Nurin. You
pergi dulu. I kan baru sampai. I nak pergi jumpa Farid kejap.” Pegangan
dilengannya dirungkai. Tidak mahu berlama-lama dengan wanita tersebut. Tanpa
mempedulikan wanita yang sudah memuncung itu, dia terus melangkah menghampiri
Farid yang dilihat sedang rancak berbual dengan beberapa orang tetamu.
Belakang bahu lelaki itu ditepuk agak kuat.
“Woi! Sakitlah!” ujar Farid agak kuat. Dia
berpaling. Matanya ditenyeh beberapa kali. Seakan tidak percaya.
“Eh Zarul!! Tak sangka aku kau datang jugak kat
majlis aku ni.” Ujarnya teruja.
Zarul tersenyum dan mengangguk. Mereka berpelukan
seketika. Gembira dapat bersua kembali setelah agak lama masing-masing
menyepikan diri.
“Terpaksalah datang. Kalau diikutkan hati aku ni,
memang aku takkan datang. Tua-tua macam ni pun ada hati lagi nak sambut birthday. Ee geli aku dengar.” Balas
Zarul Zikuan selamba. Tubuhnya digoyang membuat muka geli.
Farid ketawa kuat. Bahu teman baiknya ketika di
London dulu ditumbuk lembut. Langsung tidak ambil hati dengan gurauan lelaki
itu.
“Alah! Aku bukan nak buat sangat. Saja je nak kumpul
balik kawan-kawan. Macam kau nilah. Kalau aku tak buat macam ni, memang dah
sah-sah kau takkan datang kan?” keningnya diangkat. Menunggu jawapan yang keluar
dari bibir lelaki itu.
Zarul turut ketawa. Bahunya dijungkit.
“Kau dah makan ke? Jomlah aku temankan kau makan.
Lagipun dah lama aku tak dapat borak dengan kau.” Pelawa Farid lembut. Gembira
dengan kedatangan lelaki di sebelahnya itu.
Zarul Zikuan sekadar menurut. Fikirnya inilah peluang
untuknya mengelak daripada wanita bernama Nurin. Mereka melangkah menuju ke
ruangan yang menyediakan hidangan. Sambil menjamu selera, kedua sahabat itu
begitu rancak berbual. Daripada soal pejabat hinggalah kepada peribadi. Barulah
Zarul faham kenapa lelaki itu memilih pulau tersebut sebagai lokasi, sebenarnya
chalet dimana tempatnya menginap merupakan milik ibu bapa Farid. Dan Faridlah
yang akan mewarisi perusahaan chalet mewah tersebut.
“Zarul. Kau jangan balik lagi yek. Banyak lagi aku
nak sembang dengan kau. Aku nak kesana kejap.” Pesan Farid sambil menunjukkan
ke arah tetamu yang masih ramai. Dia menepuk mesra bahu Zarul Zikuan sebelum
berlalu.
Zarul sekadar memandang langkah lelaki yang semakin
menjauh. Dia akur dengan permintaan sahabatnya itu. Akhirnya dia memilih untuk
mengambil angin ditepi pantai. Suasana yang masih rancak langsung tidak mampu
menarik minatnya.
Tiba-tiba ketenangannya diragut.
“Hai Zarul! Apa you
buat duduk sorang-sorang kat sini?” tegur satu suara yang amat dikenalinya.
Zarul mengeluh lemah. Mahu tak mahu terpaksa juga dipandang
wajah wanita tersebut untuk seketika. Sebelum kembali menghadap laut.
Nurin tersenyum. Tahu kehadirannya disitu tidak
disenangi. Tapi malam ini dia ada kejutan yang pastinya menjadi kenangan yang
tak mampu dilupakan oleh lelaki di depannya itu. Seorang pelayan lelaki yang
sedang menatang dulang berisi beberapa gelas minuman digamit menghampiri
mereka.
Dua gelas minuman dicapai. Sebaik saja pelayan
tersebut berlalu, satu pek berisi serbuk putih dikeluarkan dan dimasukkan ke
dalam salah satu gelas. Dia bangun dan menyerahkan gelas ditangan kanannya
kepada lelaki yang sedang khusyuk menghadap laut itu.
“Nah! Pasti you
dahaga kan.”
Zarul yang langsung tidak mampu menebak niat wanita
itu mencapai gelas yang dihulurkan. Air diteguk hingga habis. Memang ketika itu
dia sedang dahaga.
Nurin tersenyum penuh makna. Tidak disangka lelaki di
depannya itu begitu cepat masuk ke dalam perangkapnya.
Selang beberapa minit kelihatan Zarul sudah memicit
dahi. Matanya berasa kabur. Pandangannya sudah berpinar-pinar. Malah dia sudah
tidak mampu mengimbangi tubuhnya. Telinganya seakan terdengar bisikan suara
wanita dan juga perbualan antara wanita tersebut dengan seorang lelaki. Tapi
dia tidak memahami setiap butir bicara mereka. Akhirnya dia sudah tidak sedar
apa yang berlaku.
Nurin tersenyum. Lelaki upahannya memegang tubuh
Zarul yang sudah terkulai lemah itu.
“Kau hantar dia kat bilik aku. Nombor 106. Bilik
yang menghadap laut.” Arahnya sambil tersenyum senang. Tubuh Zarul yang dibawa
pergi dipandang seketika. Kemudian dia melangkah menghampiri lelaki yang sedang
memerhatikannya sedari tadi.
“You buat
apa lagi kat sini. Pergilah. Nanti I call
orang-orang tu.” lelaki itu bersuara dengan wajah serius.
Nurin tergelak manja. “Alah you. Nantilah dulu. I belum puas lagi enjoy dengan you.”
Rengeknya.
“Nanti-nantilah. Sekarang ni I nak you balik ke bilik you dulu.” Arah Malik tegas. Langsung tidak diendahkan rengekan
wanita disebelahnya itu.

No comments:
Post a Comment